Selasa, 13 Februari 2018 | 2:32pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed merasmikan Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2018 dan Permohonan Atas Talian "MySMEBank" di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nik Hariff Hassan

Kerajaan akan jumpa pengedar Proton

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengadakan perjumpaan dengan pengedar dan vendor rasmi Proton dalam tempoh terdekat berhubung tekanan yang dialami mereka.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kerajaan mengambil berat semua pandangan dan masalah yang dihadapi pengedar jenama kereta nasional itu dengan menyarankan mereka untuk menaik taraf outlet kepada kemudahan 3S (jualan, servis dan alat ganti) berbanding 1S (jualan) ketika ini.

"Dalam mana-mana transformasi, sudah tentu ada pihak yang terkesan dan kerajaan ambil berat isu ini. Jadi, untuk terus bersaing dalam industri ini (kereta), kita perlu naik taraf semua pusat jualan kepada 3S.

"Kita (kerajaan) akan maklumkan kedudukan terkini semua pengedar di bawah Proton selepas bertemu dengan persatuan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2018 dan Permohonan Atas Talian "MySMEBank" di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) mendedahkan pihaknya menerima aduan daripada syarikat jualan Bumiputera mengenai dasar pengurusan baru Proton yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Proton Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB), Dr Li Chunrong sejak November lalu yang dikatakan banyak memberi tekanan kepada mereka dengan pentadbiran agak keras.

Lebih malang, DRB-Hicom yang juga pemegang saham utama Proton yang diketuai oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Sri Syed Faisal Albar yang sebelum ini memberi jaminan kedudukan Bumiputera dalam Proton akan dijaga juga kelihatan tidak mampu berbuat apa-apa.

Menurut persatuan itu, dasar Proton ketika ini dilihat boleh memusnahkan sebahagian majoriti wakil jualan Bumiputera dan perkhidmatan Proton sedia ada dalam usaha syarikat untuk menaik taraf kepada pusat pengedaran dan servis di bawah satu bumbung.

Terdahulu, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) berkata pengedaran 3S/4S di seluruh negara hanyalah 30 peratus dan 70 peratus adalah kemudahan 1S di mana pengedar hanya menjual kenderaan tanpa menawarkan sebarang perkhidmatan selepas jualan.

1457 dibaca
Berita Harian X