;
Selasa, 13 Februari 2018 | 2:18pm

KR1M 2.0 dapat sambutan menggalakkan

KUALA LUMPUR: Pengendali utama Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0, Tunas Manja Group (TMG) berjaya merekodkan jualan memberangsangkan selepas seminggu dilancarkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, 21 cawangan pasar raya TMG di Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan dan Terengganu mencatatkan peningkatan jualan tujuh peratus.

Beliau berkata, peningkatan itu membuktikan model perniagaan baharu yang diperkenalkan bagi penjenamaan semula KR1M 2.0 adalah bertepatan pada masanya serta lebih terbuka dan berdaya maju.

"Kita melihat pertumbuhan jualan yang cemerlang walaupun ia baru dilancarkan semula pada 4 Februari lalu membuktikan kejayaan dalam inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui inisiatif swasta.

"Inisiatif ini bukan saja memberi manfaat kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana malah, turut memberi kelebihan kepada peniagaan yang mengambil bahagian.

"Sebagai contoh, TMG berjaya merekodkan peningkatan jualan sehingga tujuh peratus bagi semua cawangannya yang terbabit selepas lebih seminggu ia dilancarkan," katanya pada sidang media taklimat KR1M 2.0 di Menara Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dekat sini, hari ini.

KR1M 2.0 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 4 Februari lalu ialah penjenamaan semula daripada program KR1M yang diperkenalkan melalui inisiatif pihak swasta yang dibantu kerajaan sejak 2011.

Dalam KR1M 2.0 kerajaan melalui KPDNKK memperkenalkan model baharu berkonsepkan kepada tiga kategori model perniagaan iaitu kerjasama strategik antara kerajaan dengan pengilang, pengeluar dan pengedar; operasi perniagaan kendalian pemilik serta penjenamaan bersama.

Hamzah berkata, kerajaan juga melantik PNS, agensi di bawah KPDNKK sebagai pengendali induk bagi KR1M 2.0 yang berperanan menyelia dan menjalin kerjasama dengan rakan strategik dalam inisiatif ini.

"PNS menjalin usaha sama dengan dua syarikat peruncitan dalam negara iaitu TMG dan KK Super Mart serta merancang untuk meluaskannya kepada kedai runcit," katanya.

Mengulas lanjut, katanya kerajaan berhasrat untuk membuka 3,000 cawangan KR1M 2.0 menjelang 2020 dan menyasarkan untuk menawarkan 100 barangan pada April 2018 berbanding 50 barangan ketika setakat ini.

637 dibaca
TMG berjaya merekodkan jualan memberangsangkan selepas seminggu dilancarkan. - Foto Muhammad Asyraf Sawal
Berita Harian X