Selasa, 13 Februari 2018 | 2:06pm
PRESIDEN Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir. -Foto Nik Hariff Hassan

Industri 4.0 tamatkan peranan orang tengah

KUALA LUMPUR: Peranan orang tengah atau model perniagaan berasaskan orang tengah bakal pupus dengan kehadiran revolusi perindustrian keempat (IR 4.0), demikian menurut Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Presidennya, Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir, berkata kehadiran IR 4.0 itu akan membolehkan semua orang menghasilkan dan memasarkan produk mereka secara terus dan cepat kepada pelanggan.

Sebagai contoh katanya, golongan nelayan boleh menjual hasil tangkapan mereka secara terus di dalam platform di internet menggunakan aplikasi khusus kepada pembeli tanpa perlu menerusi orang tengah.

"Apabila sampai ke daratan, pembeli sudah sedia menunggu dan nelayan mampu meraih keuntungan yang lebih dibandingkan jika menjual kepada pembekal seperti yang diamalkan ketika ini.

"Ini bermakna rantaian bekalan tradisional perlu dicipta semula atau diubah dan pembekal perlu bertindak segera mencari kaedah penghantaran baharu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran program Go 4.0 Langkawi di sini, sebentar tadi.

Mengulas mengenai program yang julung kali diadakan DPMM, Rizal Faris berkata, ia bertujuan menjana kesedaran dan mendidik usahawan, pelajar, pihak berkepentingan dan masyarakat mengenai cabaran serta peluang daripada IR 4.0.

Katanya, program dengan kerjasama Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) itu diadakan selama dua hari bermula Jumaat ini di Dataran Parkir LADA, Langkawi di Kedah.

Pihaknya menyasarkan seramai 10,000 pengunjung akan hadir sepanjang program berkenaan berlangsung.

"Langkawi dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana lanjutan daripada pelancaran inisiatif Digital Langkawi pada September tahun lalu oleh Perdana Menteri.

"Selain itu, Langkawi juga kini sudah dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur yang lengkap dan mempunyai capaian internet yang pantas," katanya.

Inisiatif dengan sasaran membangunkan pulau pelancongan itu sebagai hab digital Malaysia dengan lima kluster itu membabitkan Ekonomi Pintar, Pelancongan Pintar, Komuniti Pintar, Persekitaran Pintar dan Keselamatan Pintar.

Bagi menarik minat pengunjung, pihaknya menawarkan sehingga 20 hadiah cabutan bertuah dengan sebuah motosikal skuter bernilai RM6,000 sebagai hadiah utama.

356 dibaca
Berita Harian X