;
Isnin, 12 Februari 2018 | 7:05pm
Dari kiri, Ketua Penerangan Pusat Esate Real Thailand, Samma Kitsin, Pakar Perumahan Sr Bank Dunia, Dao Harrison, Pengarah Pembangunan Urban Bank Dunia, Sameh Naguib Wahba Tadros dan Dasar Perumahan Sosial Perancis, Sr Consultan, Claude Taffin pada Sesi Perbincangan Panel 'Memacu Pasaran Rumah Mampu Milik bagi Perbandaran Urban' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

Perumahan mampu milik perlu kerjasama kerajaan, swasta

KUALA LUMPUR: Sektor perumahan mampu milik dapat dilaksanakan secara lebih berkesan sekiranya kerajaan mengambil langkah yang kolektif antara agensi kerajaan dan swasta.

Pengurus Bank Dunia bagi Malaysia, Faris Hadad-Zervos, berkata Malaysia mempunyai ekosistem yang lengkap dalam menyediakan peluang untuk memiliki rumah mampu milik kepada rakyatnya seperti kementerian, bank dan institusi seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Cagamas Bhd (Cagamas).

Beliau berkata, bagaimanapun dalam memastikan kejayaan dalam suatu usaha untuk perumahan mampu milik, ia memerlukan usaha yang menyeluruh serta kerjasama kuat antara agensi kerajaan dan swasta.

"Isu perumahan mampu milik secara dasarnya adalah perkara penting yang perlu diberi perhatian, dan kami (Bank Dunia) yakin pihak kerajaan turut membuktikan ia satu perkara penting ketika pembentangan Bajet 2018 yang lalu.

"Namun, tumpuannya bukanlah kepada inisiatif yang dilaksanakan tetapi setiap sektor perlu bekerjasama antara satu sama lain supaya penyelesaiannya dapat memberi manfaat kepada semua orang," katanya pada Sesi Perbincangan Panel 'Memacu Pasaran Rumah Mampu Milik bagi Perbandaran Urban' di sini, hari ini.

Sesi berkenaan diadakan bersempena Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang dihadiri lebih 30,000 peserta dari 192 negara dan berlangsung selama tujuh hari.

Hadir sama, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Norzila Abdul Aziz.

Rumah mampu milik adalah kebimbangan global yang dihadapi oleh semua bandar utama di dunia. Pada 2014, dianggarkan 330 juta isi rumah di seluruh dunia mendiami rumah yang substandard atau terbeban dari segi kewangan akibat menanggung kos rumah.

Di Malaysia, pertumbuhan perbandaran dan penduduk telah menyumbang kepada kekurangan bekalan rumah mampu milik.

Sementara itu, ketika berucap pada sesi perbincangan itu, Norzila berkata, perumahan awam di negara ini masih berada di peringkat awal kerana ia perlu mendapatkan model pembangunan perumahan awam yang bersesuaian ketika ini.

Menurutnya, pasaran perumahan awam yang tidak tersusun, sekali gus menyebabkan ketidakcekapan agensi berkenaan dalam melaksanakan projek berkaitan.

"Jadi, ia adalah penting untuk mewujudkan pangkalan data serta inisiatif perumahan awam yang bersepadu bagi meningkatkan kelancaran dalam perancangan dan perlaksanaan.

"Perkara ini termasuklah mengambil kira kaedah pembinaan yang lebih maju dan penempatan aset yang bijak seterusnya mewujudkan pengurusan kos yang efektif," katanya.

185 dibaca
Berita Harian X