Isnin, 12 Februari 2018 | 3:30pm

KWSP sasar lebih ramai tukar ke Simpanan Shariah

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjangkakan lebih ramai pencarumnya akan menukar kepada Simpanan Shariah selepas ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata pengurus dana persaraan terbesar di Malaysia itu melihat pengumuman dividen pertama Simpanan Shariah sebanyak 6.40 peratus akan menjadi petunjuk kepada pencarum yang masih tidak pasti dengan prestasi dividen Simpanan Shariah untuk membuat keputusan menukar kepada simpanan berkenaan.

Beliau berkata, setakat 31 Disember 2017, jumlah simpanan pencarum Simpanan Shariah adalah berjumlah RM68 bilion membabitkan kira-kira 700,000 pencarum.

"Kami jangka lebih ramai pencarum akan menukar kepada Simpanan Shariah selepas pengumuman dividen pertama.

"Sejak pengumuman dividen Sabtu lalu, kaunter kami di Pantai Timur pada Ahad dan Lembah Klang hari ini (semalam), orang ramai mula datang untuk meninjau Simpanan Shariah," katanya pada sidang media selepas menyampaikan taklimat Dividen KWSP 2017 di sini. hari ini.

Mengenai sasaran jumlah pencarum Simpanan Shariah, Shahril Ridza berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang sasaran terhadap jumlah pencarum.

Apa yang pasti, tegasnya, pengurus dana persaraan itu memberi pilihan produk kepada pencarum dan terpulang kepada mereka untuk memilihnya.

Mengulas mengenai dividen Simpanan Shariah tahun lalu yang lebih rendah berbanding Simpanan Konvensional, Shahril Ridza berkata, Simpanan Shariah memperoleh pendapatan mengikut bahagiannya dalam aset Syariah, manakala Simpanan Konvensional, sebanyak 38 peratus diperoleh daripada aset Syariah dan 62 peratus daripada aset bukan Syariah.

Beliau berkata, pulangan bagi Simpanan Konvensional ditingkatkan oleh pendapatan daripada pelaburan bukan Syariah berikutan peningkatan prestasi saham perbankan sedunia, manakala Simpanan Shariah tidak dilaburkan dalam saham perbankan konvensional memandangkan ia tidak patuh Syariah.

Di samping itu, jelasnya, rosot nilai ekuiti daripada saham patuh Syariah terutama sektor minyak dan gas serta komunikasi mengurangkan pendapatan portfolio Syariah KWSP.

815 dibaca
Berita Harian X