Isnin, 12 Februari 2018 | 1:00pm
PORTAL MalaysiaBiz.

MalaysiaBiz dinaik taraf mudahkan daftar perniagaan

PUTRAJAYA: Portal Informasi Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan Setempat (MalaysiaBiz) akan dinaikkan taraf bagi membolehkannya menyediakan perkhidmatan pendaftaran dan pelesenan perniagaan secara dalam talian.

Sebelum ini, komuniti perniagaan perlu mendapatkan perkhidmatan berkenaan daripada pelbagai portal agensi yang berkaitan.

Melalui Portal MalaysiaBiz, urusan pendaftaran dan pelesenan perniagaan kini akan dipermudahkan secara berpusat.

Projek ini adalah fasa pertama integrasi yang membabitkan pengintegrasian dengan sistem agensi, yang kini menyediakan perkhidmatan pendaftaran dan pelesenan perniagaan secara dalam talian.

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dalam kenyataannya berkata, sejajar dengan agenda Kerajaan Digital di Malaysia, gerbang tunggal itu akan menjadi naratif baharu perkhidmatan awam.

Katanya, perkhidmatan yang cepat dan selamat diakses akan menjadi keperluan utama rakyat khususnya golongan muda yang sentiasa peka kepada perkembangan teknologi.

Ia berkata, golongan sasar, iaitu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membentuk 98.5 peratus daripada jumlah perniagaan di Malaysia akan menerima manfaat secara langsung daripada pelaksanaan gerbang tunggal ini.

"Melalui gerbang ini, urusan pendaftaran dan pelesenan perniagaan akan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah yang sekali gus akan meningkatkan kepuasan pelanggan serta menggalakkan lagi pertumbuhan aktiviti perniagaan dan turut menyumbang kepada daya saing negara.

"Kerjasama pelbagai agensi bagi melaksanakan Portal MalaysiaBiz adalah selari dengan prinsip Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk memberikan perkhidmatan lebih baik dan cekap kepada rakyat. Projek ini akan dilaksanakan selama dua tahun bermula dari 26 Disember 2017 sehingga 25 Disember 2019," katanya.

Portal MalaysiaBiz dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2016 dan diluaskan pelaksanaannya ke Sabah dan Sarawak pada tahun lalu.

Portal memaparkan maklumat pendaftaran perniagaan yang meliputi 10 badan pendaftar perniagaan serta maklumat pelesenan yang meliputi 2,919 lesen daripada 508 Pihak Berkuasa Melesen (PBM) di peringkat persekutuan, negeri dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Di bawah Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana 2012-2020, MAMPU diberi tanggungjawab untuk menerajui pelaksanaan Program Berimpak Tinggi 1 Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME HIP1): Integrasi Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan.

Ia bertujuan untuk meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan. Objektif utama projek adalah untuk mewujudkan satu gerbang tunggal bagi memudahkan urusan pendaftaran dan pelesenan perniagaan.

89 dibaca
Berita Harian X