Isnin, 12 Februari 2018 | 12:54pm

Pasaran pekerjaan di Malaysia pada tahap optimum

KUALA LUMPUR: Kadar pengambilan pekerja di negara ini berada pada tahap optimum dan pencari pekerjaan mempunyai banyak pilihan kerjaya untuk dipilih.

Rumusan itu dibuat berdasarkan laporan tahunan Randstad Market Outlook yang dikeluarkan oleh firma industri perkhidmatan sumber manusia global, Randstad.

Berdasarkan laporan berkenaan, firma itu mengenalpasti aliran pengambilan pekerja adalah lebih tinggi dalam dalam empat sektor iaitu perkhidmatan perbankan dan kewangan; pembinaan, hartanah dan kejuruteraan; sumber manusia dan juga teknologi maklumat.

Pengarah Urusan Randstad Malaysia, Ryan Carroll berkata dalam usaha untuk menggaji bakat yang terbaik, syarikat mempertimbangkan faktor seperti kebolehan meningkatkan imej majikan, pengalaman digital calon serta pengalaman pekerja menerusi strategi pembabitan.

"Laporan itu memberi tumpuan terhadap aliran pengambilan pekerja yang amat dinanti-nantikan oleh pencari kerja dan majikan pada tahun 2018.

"Antara inti pati yang turut dimuatkan dalam laporan berkenaan termasuklah sektor hartanah di negara ini yang mahu menggajikan pengurus projek, profesional dalam bidang jualan dan pemasaran serta arkitek yang mengkhusus dalam perancangan dan rekaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Randstad turut mempunyai operasi di Singapura, Malaysia, Hong Kong SAR, China, Jepun, Australia dan New Zealand.

435 dibaca
Berita Harian X