Rabu, 17 Januari 2018 | 7:33pm
DATUK Seri Ahmad Hamzah.- Foto Asyraf Hamzah

MPOB teruskan kempen minyak sawit di Eropah

JASIN: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tetap meneruskan kempen penggunaan minyak sawit tempatan di negara Eropah, meskipun ada cadangan daripada Kesatuan Eropah (EU) untuk menyekat kemasukan produk daripada bahan komoditi itu ke negara terbabit.

Pengerusi MPOB, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata pihaknya kekal dengan pendirian untuk memberi penerangan jelas kepada semua pengguna, termasuk di beberapa negara pengimport mengenai kualiti dan kebaikan minyak sawit Malaysia.

"MPOB akan teruskan kempen dan penerangan yang jelas kepada semua pengguna di luar negara, terutama di EU bahawa minyak sawit kita memiliki Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan cara pengeluaran kita adalah menepati segala piawaian ditetapkan.

"Kita yakin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta kerajaan mempunyai cadangan tertentu untuk menghalang usaha daripada EU itu yang jelas boleh menyebabkan bukan saja penjualan sawit kita terjejas, tetapi juga menjejaskan masa depan seramai 650,000 pekebun kecil serta 3.2 juta tenaga kerja yang bergantung hidup kepada pengeluaran kelapa sawit," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jasin ditemui di pejabatnya di Merlimau Utara, di sini, hari ini.

Ahmad mengulas tindakan hampir 2,000 peneroka FELDA dan pekebun kecil yang berhimpun secara aman di Menara FELDA , Kuala Lumpur, semalam bagi membantah keputusan EU untuk mengadakan sekatan terhadap produk minyak sawit.

Peserta perhimpunan berkenaan turut menghantar memorandum bantahan ke pejabat kedutaan EU dan 17 negara anggota kesatuan terbabit, yang mengandungi 103,078 tandatangan peneroka serta pekebun kecil sebagai tanda solidariti membantah keputusan EU.

Ahmad turut menasihatkan pekebun kecil supaya sentiasa mematuhi setiap nasihat daripada MPOB yang sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan golongan terbabit mematuhi syarat serta memiliki sijil MSPO yang dikeluarkan agensi berkenaan.

368 dibaca
Berita Harian X