Khamis, 11 Januari 2018 | 2:22pm
DATUK Seri Panglima Wilfred Madius Tangau. - Foto Hafiz Sohaimi

Projek BTP labur RM17b, cipta 26,700 peluang kerja

KUALA LUMPUR: Sebanyak 77 projek berpotensi di bawah Program Transformasi Bioekonomi (BTP) bakal mewujudkan 26,700 peluang pekerjaan dan membabitkan pelaburan lebih RM17 bilion menjelang 2020.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata syarikat berasaskan bio terus menjadi tunggak utama dalam pembangunan holisitik merangkumi ekonomi, urus tadbir dan sosial.

"Projek BTP memberi tumpuan kepada pengkomersialan produk bernilai tinggi yang boleh menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Antara projek yang sudah dikenal pasti adalah penggunaan bahan berasaskan bio yang diperoleh daripada minyak dan sisa kelapa sawit seperti 'pembangunan, pengeluaran dan pengkomersialan kertas menggunakan tandan buah kosong (EFB) di Pahang," katanya pada pelancaran Hari Bioekonomi 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Malaysia Bioeconomy Development Corporation Bhd (Bioeconomy Corporation), Tan Sri Zakri Abdul Hamid.

Wilfred berkata, setakat ini sebanyak 283 syarikat berstatus BioNexus merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM6.81 bilion pada 2017, meningkat 2.2 peratus berbanding RM6.6 bilion pada tahun sebelumnya.

"Syarikat ini juga menyumbang 10,665 peluang pekerjaan, meningkat 4.2 peratus berbanding 10,238 pada tahun 2016.

"Selain itu, syarikat berstatus BioNexus mencatatkan kadar pertumbuhan purata tahunan 18 peratus dari segi penjanaan pendapatan dari 2008 hingga Disember 2017," katanya.

Beliau berkata, Bioeconomy Corporation juga melaksanakan 37 projek Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) sehingga Disember 2017 membabitkan 2,800 peserta.

"Projek ini dijangka memberi impak kepada lebih 13,000 penduduk di sekitarnya," katanya.

Katanya, pencapaian syarikat BioNexus dan projek yang dijamin di bawah BTP dan BCDP mencerminkan daya tahan industri berasaskan bio, walaupun iklim ekonomi yang tidak menentu dan kompetitif.

399 dibaca
Berita Harian X