Jumaat, 12 Oktober 2018 | 9:18pm
KETUA Pemasaran Mr DIY Tranding Sdn Bhd, Andy Chin (dua, kanan) menyampaikan replika kunci kenderaan kepada pemenang Fizz Hashim (dua, kiri) sempena sambutan pembukaan cawangan ke-600 Mr DIY di Paradigm Mall, hari ini. Turut hadir Ketua Saluran Jualan Proter & Gamble Malaysia Sdn Bhd (P&G), Chong Wei Sin (kanan) dan Pengurus Cawangan Kanan Mr DIY, Lau Pee Huat (kiri). - Foto BERNAMA

MR DIY sasar 1,000 cawangan menjelang 2020

KUALA LUMPUR: MR D.I.Y Trading Sdn Bhd (MR D.I.Y), peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, menyasarkan perluasan rangkaian cawangannya sebanyak 1,000 buah di seluruh negara dan peringkat serantau menjelang 2020.

Ketua Pemasarannya, Andy Chin berkata, sasaran pertumbuhan secara organik itu bakal dipacu oleh peningkatan permintaan pasaran dan kuasa beli pengguna ASEAN yang sebilangannya merupakan negara komponen pasaran membangun.

“Kami berasakan model perniagaan kami sebagai peruncit pembaikan rumah yang menawarkan kepelbagaian pada harga mampu milik amat sesuai untuk pertumbuhan perniagaan yang lebih baik, bukan sahaja dalam negeri, tetapi di pasaran ASEAN.

“Pada penghujung tahun ini, kami menyasarkan sebanyak 700 cawangan di peringkat global dan ia berkemungkinan akan mencecah atau melepasi angka 1,000 cawangan pada tahun 2020. Semua ini akan berdasarkan kepada pertumbuhan organik,” katanya.

Chin berkata demikian selepas acara penyampaian hadiah kepada 11 pemenang peraduan yang diadakan secara bersama dengan beberapa rakan kongsi MR D.I.Y, sempena pembukaan cawangan terbaharunya di pusat beli-belah Paradigm Mall di sini, merupakan cawangan ke-440 di Malaysia dan cawangan ke-600 di peringkat global.

Katanya, syarikat MR D.I.Y mengadakan beberapa aktiviti dan tawaran khas selama tiga hari bermula hari ini sempena pembukaan cawangan terbaharunya itu, antara lain, pengunjung bertuah akan mendapat wang tunai RM600 atau cenderamata, di samping cenderamata payung eksklusif MR D.I.Y bagi pembelian melebihi RM30.

Usaha perluasan rangkaian di peringkat ASEAN bermula pada 2014. Kini, MR D.I.Y mempunyai 120 cawangan di Thailand, Indonesia (40), Brunei (4), Singapura (1) dan Filipina (1).

“Menjelang 2020, kami menjangka akan terdapat sekurang-kurangnya 500 cawangan dalam negara, manakala prospek perluasan rangkaian di peringkat ASEAN bakal tertumpu di Indonesia, Thailand dan Filipina,” katanya.

Mengenai segmen e-dagang MR D.I.Y yang dilancarkan pada Jun lepas, Chin berkata langkah tersebut tidak akan menjejaskan perniagaan tradisional kerana ia melengkapi sisi memberi kemudahan kepada pelanggan yang tidak berkesempatan untuk datang membeli atau ketiadaan masa.

“Pengenalan segmen e-dagang MR D.I.Y bertujuan memberi pengalaman membeli-belah yang pelbagai kepada para pelanggan,” katanya.

Berhubung pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Chin berkata pihaknya masih mengkaji mengenai impak pelaksanaan cukai tersebut kepada harga barangan.

“Kami telah menurunkan harga apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan. Apabila SST baharu dilaksanakan, harga pasca-GST kami masih dikekalkan,” katanya.

Perniagaan MR D.I.Y yang dimulakan sejak 2005 bermula dengan sebuah kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur yang masih beroperasi sehingga hari ini.

Kini, ia berkembang menjadi peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia yang mempromosikan lebih 20,000 unit simpanan barang (SKU) termasuk aksesori kenderaan, alat tulis, permainan dan barangan am. - BERNAMA

275 dibaca
Berita Harian X