Jumaat, 12 Oktober 2018 | 9:13pm
PENGERUSI Co-opbank Persatuan, Kamari Zaman Juhari. - Foto BERNAMA

Co-opbank Pertama sasar bayar dividen 9.5 peratus

PUTRAJAYA: Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Bhd (Co-opbank Persatuan), yang kini dikenali sebagai Co-opbank Pertama, berpotensi untuk membayar dividen pada kadar 9.5 peratus bagi tahun kewangan 2018 berbanding 8.5 peratus pada 2017.

Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari, berkata unjuran itu adalah berasaskan prestasi Co-opbank Pertama sehingga September 2018.

“Kita berada di landasan untuk membayar dividen pada kadar tersebut. Ia merupakan peningkatan yang ketara daripada 8.5 peratus pada 2017,” katanya.

Kamari Zaman berkata, kadar dividen 2018 akan diumumkan pada suku kedua 2019 semasa mesyuarat agung koperasi itu.

Mengulas mengenai nama baharu iaitu Co-opbank Pertama, beliau berkata, ia susulan kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi mendaftarkan pindaan undang-undang kecil Co-opbank Persatuan.

Pindaan itu, berkuat kuasa 13 September 2018, telah diperakui SKM mengikut Seksyen 18(3) Akta Koperasi 1993 (Akta 502).

“Pindaan undang-undang kecil berkenan bertujuan memperkukuh kedudukan Co-opbank Pertama selaras dengan visi untuk menjadi sebuah bank koperasi syariah yang terunggul di Malaysia,” katanya.

Kamari Zaman berkata, pindaan berkenaan membolehkan keanggotaan Co-opbank Pertama dibuka kepada individu bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Jumlah bayaran minimum syer anggota Co-opbank Pertama kini telah dinaikkan kepada RM1,000 daripada RM500 bagi keanggotaan individu, dan RM5,000 daripada RM3,000 bagi keanggotaan koperasi mengikut ​​​permohonan keanggotaan baharu berkuat kuasa 13 September 2018.

Co-opbank Pertama kini mempunyai 82,564 anggota individu dan 632 koperasi dengan nilai saham berbaki RM250 juta.

– BERNAMA

543 dibaca
Berita Harian X