Isnin, 11 Jun 2018 | 8:00am
PEMANDANGAN udara di Gamuda City - pemulihan Yen So Park dan pemasangan loji rawatan kumbahan Yen So mengubah selatan Hanoi.
KOMUNITI setempat menikmati Yen So Park, Gamuda City yang dipulihkan.

Sedekad kejayaan Gamuda Land di Vietnam

HANOI, Vietnam: Gamuda Land terus diiktiraf sebagai antara syarikat pemaju bandar terbaik sepanjang pembabitannya selama 10 tahun di Vietnam meskipun terpaksa berdepan dengan cabaran perbezaan dasar dan budaya di negara berkenaan.

Kini setelah melalui tempoh selama sedekad itu, Gamuda Land kini berjaya memahami secara menyeluruh mengenai pasaran dan demografik di Vietnam, sekali gus dapat mewujudkan projek perbandaran berdasarkan permintaan tempatan.

Kejayaan itu juga membuka peluang kepada syarikat menapak di pasaran luar negara seperti Vietnam, di samping projek antarabangsa sedia ada seperti Singapura dan Australia yang mana tiga negara itu menyumbang dua pertiga kepada jualan Gamuda Land.

Malah, kehadirannya di Hanoi memberi banyak perubahan landskap yang turut memberi kesan drastik kepada pembangunan ekonomi, sosial dan budaya di kawasan sekitarnya, sekali gus mewujudkan banyak peluang pelaburan di sekitarnya.

Inisiatif Gamuda Land yang bermula sejak 2007 itu dengan menyediakan fasiliti loji rawatan kumbahan (STP) di Yen So Park bagi menggantikan sistem kumbahan lama untuk merawat air tercemar adalah usaha tepat yang dapat dimanfaatkan oleh dua juta penduduk sekitarnya.

Transformasi selatan Hanoi

Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng, berkata syarikat hartanah itu mendapat kepercayaan kerajaan tempatan di Hanoi dan diberikan hak membangunkan tanah di bahagian Selatan di wilayah itu dan bermulalah perjalanan pembangunan Gamuda City seluas 172 hektar.

Katanya, sehingga hari ini, kira-kira 40 peratus air kumbahan di kawasan dengan kepadatan penduduk yang tinggi itu dirawat STP Yen So yang bersamaan dengan 200,000 kubik meter setiap hari.

"Usaha pemulihan air yang disalurkan kembali ke Sungai Merah itu juga mewujudkan transformasi luar biasa yang meletakkan selatan Hanoi sebagai lokasi yang menarik dan mewujudkan biodiversiti yang lebih tersusun dan kondusif serta pelbagai limpahan pelaburan.

"Transformasi yang dilaksanakan oleh Gamuda Land terhadap kawasan yang mempunyai lima tasik sebagai pusat tumpuan dan rekreasi menjadikan projek perbandaran Gamuda City sebagai titik mata jualan yang unik.

"Projek perbandaran ini meliputi pembangunan bercampur kediaman dan komersial yang disokong oleh kemudahan asas serta sambungan kepada jaringan lebuh raya memberikan gaya hidup yang lebih holistik kepada penghuninya," katanya kepada empat wakil media, termasuk dari NSTP yang mengikuti rombongan melawat projek berkenaan di Hanoi, Vietnam baru-baru ini.

Pemaju bandar dengan visi

Dalam lawatan itu, wakil media dibawa melawat Gamuda City yang terletak hanya enam kilometer dari pusat perniagaan (CDB) lama Hanoi yang akan dibangunkan dalam beberapa fasa merangkumi tiga persint, Gamuda Gardens, Gamuda City Central dan Gamuda Lakes, bersebelahan dengan Yen So Park.

Gamuda Gardens meliputi pembangunan seluas 80 hektar yang bermula pada 2012 kini 75 peratus siap secara keseluruhannya dan mendapat sambutan baik daripada pembeli tempatan.

Selain projek di Hanoi, Gamuda Land turut mempunyai projek perbandaran Celadon City di Bandar Ho Chi Minh seluas 82 hektar bernilai AS$1 bilion dan berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat.

Kekukuhan Gamuda Land sentiasa terletak pada prinsipnya 'Memahami suara alam semula jadi', iaitu memastikan perancangan projek perbandaran mengambil kira susun atur tanah dan bagaimana ia dirancang. Ini memberikan kelainan kepada penghuni apabila mereka melangkah masuk ke perbandaran ini.

Prinsip perbandaran menjadi

Chee Meng berkata, menjadikan ia kawasan yang tepat untuk menjalankan kerja perbandaran bukan hanya tempat tinggal, malah meliputi ruang kerja, tempat beriadah dan beli-belah serta pendidikan dan kesihatan.

"Bagi dua projek perbandaran di Vietnam, kami melihatnya sebagai elemen penting yang dapat menawarkan tempat beriadah bagi komuniti setempat untuk berinteraksi dengan lebih santai dan selesa dalam menjalani kehidupan bersama," katanya.

Beliau juga menekankan projek perbandaran di Hanoi bernilai AS$2.5 bilion bukan sekadar menyediakan hartanah mampu milik dan mewah, namun ia mengubah gaya hidup penduduk setempat.

"Kami tidak mahu hanya membina rumah dan pusat komersial semata-mata, namun mahu membina ekosistem dan gaya hidup yang mampu memberikan ketenangan dan keseronokan kepada penghuninya.

"Dalam tempoh lapan hingga 10 tahun lagi, kami akan membina pusat beli-belah dan pusat komersial yang lain di Gamuda City seterusnya mengubah wilayah ini sebagai hab komersial.

Chee Meng berkata, apa yang membuatkan Gamuda Land berbeza adalah pendekatan kami membangunkan bandar membabitkan segenap perhatian dan butiran yang tidak mudah dilakukan pihak lain adalah seterusnya meletakkan projek ini dalam kelasnya tersendiri.

"Malah, apabila orang ramai berada di kawasan pembangunan perbandaran kami, ia mewujudkan perasaan untuk menjadi sebahagian daripada komuniti diwujudkan Gamuda Land," katanya.

538 dibaca
Berita Harian X