Selasa, 13 Februari 2018 | 9:56am
PENGARAH Eksekutif Wegmans Holdings Bhd, Collin Law Kok Lim. - Foto Nik Hariff Hassan

Wegmans rancang bina kilang perabot baharu

KUALA LUMPUR: Pengeluar perabot premium, Wegmans Holdings Bhd, merancang menggunakan dana RM29 juta yang dijana menerusi tawaran awam permulaan (IPO) untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran kilangnya.

Ia bakal disenaraikan di pasaran ACE Bursa Malaysia pada 6 Mac depan dan prospektus IPO itu dilancarkan hari ini.

Pengarah Eksekutifnya, Collin Law Kok Lim, berkata daripada jumlah RM29 juta dana IPO itu, RM22 juta akan digunakan bagi perbelanjaan modal (CAPEX) manakala selebihnya untuk pembiayaan IPO serta modal kerja.

Katanya, CAPEX itu akan digunakan bagi membangunkan sebuah kilang pengeluaran di Muar, Johor secara berperingkat membabitkan pelaburan sebanyak RM11 juta, manakala selebihnya membeli mesin dan peralatan.

"Kilang itu akan dibangunkan di atas tapak seluas 900,000 kaki persegi membabitkan tiga fasa dengan fasa pertama dijangka siap menjelang suku keempat tahun depan.

"Sebaik mula beroperasi, kilang ini mampu meningkatkan sehingga dua kali ganda kapasiti pengeluaran berbanding yang sedia ada ketika ini.

"Buat masa ini, kilang sedia ada mampu mengeluarkan 476,000 unit kerusi dan 192,000 unit meja makan setahun," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Wegmans Holdings yang mula ditubuhkan pada 1994 bermula sebagai pembekal bahagian perabot meja makan kayu dan sofa kepada pengeluar perabot tempatan.

Pada tahun 2000, ia berkembang sebagai pengeluar perabot premium terutama set meja makan dan sehingga kini sudah mengeksport ke 14 negara secara konsisten.

Di bawah IPO, syarikat berkenaan menawarkan 100 juta saham baharu pada harga terbitan 29 sen sesaham.

Daripada jumlah itu, sebanyak 25 juta saham akan disediakan kepada orang awam, 15 juta saham lagi untuk pengarah, pembekal dan kakitangan yang menyumbang kepada syarikat, 10 juta saham bagi pelabur institusi dan 50 juta untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Selain itu, terdapat juga tawaran jualan 50 juta saham terbitan bagi penempatan swasta untuk pelabur institusi.

Mengulas lanjut, Collin berkata, pasaran eksport menyumbang 98.4 peratus kepada pendapatan syarikat dengan Jepun menyumbang 23 peratus; Amerika Syarikat (18 peratus); Australia (15 peratus) dan United Kingdom sebanyak 12 peratus.

Katanya, pihaknya lebih menumpukan pasaran luar negara berbanding pasaran tempatan kerana saiz pasarannya yang jauh lebih besar dibandingkan Malaysia.

Mengulas mengenai pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada jualan eksport syarikat, Collin menjelaskan ia sememangnya memberi kesan.

INFO

  • Wegmans Holdings bakal raih RM29 juta daripada IPO
  • Rancang bina kilang baharu bernilai RM11 juta
  • Eksport produk ke 14 negara dengan Jepun menjadi pasaran utama
271 dibaca
Berita Harian X