Isnin, 12 Februari 2018 | 6:44pm

RM240 juta pelaburan dari Russia di Johor

JOHOR BAHRU: Johor menjadi pilihan syarikat Orgkhim Biochemical Holding dari Russia menerusi anak syarikatnya, Norman Process Oils Malaysia Plant Sdn Bhd bagi menyuntik pelaburan bernilai RM240 juta di Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong, berkata pelaburan itu adalah yang terbesar dari Russia di Malaysia setakat ini, selain pelaburan asing pertama dilakukan syarikat pengeluar minyak berasaskan petroleum bagi pembuatan tayar sintetik berkenaan.

Katanya, ia membuktikan bahawa Johor menjadi pilihan pelabur didorong pelbagai perkara, antaranya infrastruktur yang lengkap di negeri ini seperti lapang terbang, pelabuhan, jaringan perhubungan yang baik dan komunikasi.

"Selama empat tahun iaitu antara tahun 2013 hingga 2016, Johor mengekalkan kedudukan pertama dan kami yakin pada 2017 dan 2018, negeri ini masih di kedudukan teratas.

"Dalam tempoh empat tahun, Johor mencatatkan pelaburan RM93 bilion dalam sektor pembuatan iaitu melebihi RM59 bilion daripada negeri yang menduduki tempat kedua bagi tempoh sama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pecah Tanah Orgkhim Norman Process Oils Malaysia Plant Sdn Bhd di Double Tree By Hilton Hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud; Pengarah Norman Process Oils Malaysia Plant Sdn Bhd, Aleksandr Volkov dan Ketua Pegawai Eksekutif Orgkhim Biochemical Holding Management Company, Nikolay Khodov.

Siew Kiong berkata, walaupun MIDA belum mengumumkan kedudukan pelaburan tertinggi pada 2017, kerajaan Johor yakin nilai pelaburan sektor pembuatan sepanjang lima tahun iaitu mulai 2013 hingga tahun lalu mampu mencecah RM100 bilion.

Malah, beliau terus yakin Johor akan terus berada di kedudukan tiga teratas di seluruh negara.

Sehingga kini, katanya, terdapat 50 negara yang sudah melabur di Johor dan kerajaan negeri akan terus komited memastikan negeri ini sentiasa mesra pelabur.

"Difahamkan projek syarikat Orgkhim Biochemical Holding siap dalam tempoh masa 15 bulan mulai sekarang dan beroperasi selepas pertengahan tahun depan," katanya.

Sementara itu, Azman berkata, peluang menyuntik pelaburan di negara ini menerima sambutan baik dalam kalangan pelabur daripada pelbagai sektor dan bidang.

Katanya, sebelum ini, beberapa syarikat Russia sudah membuat pelaburan termasuk dalam sektor pengeluaran makanan, jentera berat dan pengangkutan.

Bagaimanapun, katanya, suasana yang kondusif mendorong syarikat lain dari negara itu bagi menyuntik pelaburan di negara ini.

351 dibaca
Berita Harian X