Isnin, 12 Februari 2018 | 6:23pm
PENGERUSI George Kent, Tan Sri Tan Kay Hock. - Foto Azhar Ramli

George Kent bentuk konsortium bida projek HSR

KUALA LUMPUR: George Kent (Malaysia) Bhd bergabung dengan Siemens AG (Jerman), Alstom (Perancis), Ferrovie dello Stato Italiane (FS Group) (Itali) dan Porr AG (Austria) membentuk konsortium untuk membida projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur - Singapura.

Dalam kenyataan bersama hari ini, konsortium itu berkata ia akan menyediakan tawaran bersama membabitkan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) serta operasi dan penyelenggaraan (O&M) bagi tujuan tender ini.

Pengerusi George Kent, Tan Sri Tan Kay Hock, berkata syarikat sudah membentuk pasukan yang kukuh dan akan bekerjasama dengan rakanyang berpengalaman untuk melaksanakan dan menyelenggara sistem kereta api berkelajuan tinggi yang paling selamat dan paling dipercayai di dunia.

"Kami menyasarkan untuk memudahkan pemindahan teknologi dan memaksimumkan kandungan tempatan, sumber dan modal insan sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk membangunkan industri kereta api yang berdaya tahan dan berdaya maju," katanya.

Ketua Siemens Mobility Asia Pasifik, Michel Obadia, berkata syarikat komited kepada pemindahan teknologi ke Malaysia dan Singapura, selain berharap untuk meneruskan kerjasamanya dengan kedua-dua negara berhubung projek ikonik ini.

"Dengan bantuan rangkaian pakar kami yang diiktiraf di peringkat global, kami akan dapat menyediakan penyelesaian teknikal paling inovatif bagi perjalanan yang selesa dan selamat," katanya.

Naib Presiden Kanan Alstom Asia Pasifik, Jean-Francois Beaudoin, berkata dengan kepakaran syarikat dalam projek berkelajuan tinggi yang kompleks, ia meneliti tender dan mencari kerjasama yang terbaik, di peringkat tempatan dan antarabangsa, dalam menawarkan penyelesaian terbaik kepada Singapura dan Malaysia.

Projek HSR, yang diumumkan pada 2010, akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Johor Bahru dengan Singapura, dan dijangka siap pada 2026.

-BERNAMA

449 dibaca
Berita Harian X