Jumaat, 19 Januari 2018 | 8:57pm
PENGASAS Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong (lima dari kanan) dan Pengarah Eksekutif Aset Kayamas Sdn Bhd, Michael Chai (enam kanan) melakukan acara Yee Sang bersama tetamu kenamaan pada majlis makan malam tahunan syarikat di ibu negara, malam tadi. - Foto Owee Ah Chun

Aset Kayamas sasar serahkan 10,000 unit kediaman

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Aset Kayamas Sdn Bhd (Aset Kayamas) sasar untuk menyerahkan 10 projek perumahan membabitkan 10,000 unit sepanjang 2018.

Pengarah Eksekutifnya, Michael Chai, berkata lapan daripada projek perumahan terbabit terdiri daripada 8,000 unit disasar untuk diserahkan pada tempoh enam bulan pertama 2018.

Beliau berkata, tiga lagi projek perumahan membabitkan 3,000 unit pula dijangka akan diserahkan pada tempoh enam bulan akhir tahun ini.

"Projek yang dijangka akan diserahkan pada tempoh enam bulan pertama adalah PPA1M membabitkan 1,536 unit, Residensi Sentulmas (351 unit), Residensi Pandanmas 2 (2,220 unit), The Holmes (623 unit), The Henge (1,472 unit).

"Manakala tiga lagi projek merangkumi 3,000 unit yang akan diserahkan pada tempoh enam bulan akhir adalah Residensi Gurneymas, Residensi Kepongmas dan The Haute," katanya pada sidang media Majlis Makan Malam Tahunan 2018 Aset Kayamas, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain pembangunan projek apartmen mewah dan kondominium, Aset Kayamas turut memberi tumpuan terhadap kediaman bertanah dan pejabat.

"Pada malam ini, kita akan memperkenalkan logo rasmi Desa Sentral (sebelum ini dikenali Desa Waterpark). Kita akan membina galeri jualan di Desa Sentral tahun ini dan syarikat ini bercadang untuk menjadikan tempat itu sebagai hab pendidikan, yang mempunyai pejabat, apartmen servis dan kondominium.

"Antara suku kedua dan ketiga 2018, Aset Kayamas akan melancarkan apartmen servis dan pejabat kedai di Desa Sentral," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, sepanjang tahun lalu, Aset Kayamas melancarkan lima projek kondominium mewah dan lima projek RUMAWIP masing-masing mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion dan RM641 juta.

Projek kondominium mewah itu terdiri daripada The Hamilton (435 unit), The Hamstead (479 unit), The Holmes 2 (986 unit), The Hertz (329 unit) dan The Hermington (479 unit).

Projek Rumahwip pula adalah Residensi Gurneymas (274 unit), Residensi Wangsamas (441 unit), Residensi Desamas (323 unit), Residensi Tasikmas (463 unit) dan Residensi Desa Satumas yang mempunyai 1,346 unit dengan 90 peratus daripada projek terbabit sudah dijual.

788 dibaca
Berita Harian X