Jumaat, 12 Januari 2018 | 7:27pm

T7 dan CCTEB dari China bekerjasama bida projek

KUALA LUMPUR: T7 Global Bhd (T7) bekerjasama dengan China Construction Third Engineering Bureau Co Ltd (CCTEB) bagi membida projek infrastruktur dan pembinaan di Malaysia.

T7 berkata, anak syarikatnya, T7 Kemuncak Sdn Bhd (T7 Kemuncak) dan China Construction Third Engineering (M) Sdn Bhd (CCTE Malaysia), sebuah unit CCTEB, menubuhkan sebuah syarikat usaha sama (JV) yang dikenali sebagai T7 China Construction Third Engineering Sdn Bhd.

"Syarikat itu akan bekerjasama membida Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan beberapa projek pembinaan di Malaysia.

"T7 Kemuncak menjadi pemegang saham majoriti sebanyak 51 peratus dan CCTE Malaysia dengan pemilikan saham sebanyak 49 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Timbalan Pengerusi Eksekutif T7, Tan Sri Tan Kean Soon berkata: "Kami berasa berbesar hati dapat bekerjasama dengan CCTE Malaysia dan percaya pakatan strategik ini akan memacu T7 ke peringkat global, terutama dalam perniagaan infrastruktur dan pembinaan."

CCTE Malaysia adalah anak syarikat milik penuh tidak langsung China State Construction Engineering Corporation Ltd yang dipegang melalui CCTEB di Malaysia, sebuah konglomerat pembinaan serta hartanah di China yang memiliki kepakaran dan berpengalaman luas dalam pembinaan, reka bentuk, kejuruteraan, projek infrastruktur termasuk kemudahan perindustrian. -BERNAMA

312 dibaca
Berita Harian X