;
Khamis, 8 Februari 2018 | 6:07pm

UDA Holdings rancang maju tanah rizab Melayu

KUALA LUMPUR: UDA Holdings Bhd merancang untuk mengusahakan tanah rizab Melayu di seluruh negara dengan anggaran keluasan kira-kira 1.62 juta hektar, berikutan kejayaannya membangunkan tanah wakaf yang terbiar di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah, berkata UDA melihat tanah rizab di Selangor dan Johor mempunyai potensi untuk dibangunkan bagi meningkatkan nilai tanah berkenaan yang jauh lebih rendah berbanding lot tanah berstatus terbuka.

Katanya kebanyakan tanah ini berstatus pertanian dan terbiar kerana tiada permintaan dan agensi itu bersedia untuk menjadi pelopor dalam pembangunan tanah rizab Melayu terutama di luar Kuala Lumpur.

"Malah, dalam Lembaga Pengarah, kita telah buat keputusan. Kita akan pergi ke semua negeri ini (yang terletak) di luar Kuala Lumpur untuk mengenal pasti tanah yang kita boleh bangunkan.

"Kebanyakan tanah ini di luar kota. Sudah tentu ia boleh mendatangkan nilai pada masa akan datang. Pada masa ini, memang kawasan itu tidak sebesar Kuala Lumpur tetapi saya percaya dalam masa terdekat, ia boleh menjadi sebuah bandar," katanya kepada pemberita selepas Taklimat Prospek Pembangunan Hartanah Bumiputera di sini, hari ini.

Mohd Shafei turut mencadangkan kerajaan menilai dan meneliti semula tanah rizab Melayu supaya nilainya dapat dinaikkan.

"Antara cadangan saya ialah memecahkan lot bagi tanah rizab untuk pertanian. Dalam keadaan biasa, setiap satu ekar tanah pertanian ini, ia boleh dipecahkan dan dimiliki banyak nama.

"Masalah terjadi apabila terdapat banyak pemilik di atas satu lot tanah. Ia akan menyukarkan kerja-kerja pembangunan tanah oleh pihak berkuasa kerana perlu mendapatkan kelulusan daripada kesemua pemegang tanah sebelum boleh dimajukan," katanya.

Beliau berkata jika terdapat kelonggaran dari segi syarat pemilikan, masalah itu mungkin boleh diselesaikan dan tanah tersebut dapat dimajukan dengan lebih cepat, seterusnya meningkatkan nilainya.

Mohd Shafei juga mencadangkan kepada kerajaan agar membenarkan tanah itu disewa kepada bukan Bumiputera untuk meningkatkan kebolehpasarannya, seterusnya menarik minat bank untuk memberi pinjaman kepada pemilik tanah.

Bagi pembangunan tanah wakaf, beliau berkata UDA bakal melebarkan sayapnya sehingga ke Sabah dan Sarawak pada tahun ini dan telah mengenal pasti tanah wakaf seluas 2.02 hektar di Sabah dan 4.05 hektar di Sarawak untuk dibangunkan.

Pada masa ini, katanya pembangunan tanah wakaf aktif dilakukan di Pulau Pinang, selain telah memulakan pembangunan di Alor Setar, Kedah di tanah berkeluasan 10.93 hektar serta di Ipoh dan Meru, masing-masing dengan keluasan 0.77 dan 16.19 hektar.

404 dibaca
Berita Harian X