Khamis, 8 Februari 2018 | 5:47pm
DATUK Roslan Ibrahim.- Foto Zunnur Al Shafiq

UEM Sunrise fokus projek di Iskandar Malaysia

ISKANDAR PUTERI: Pemaju hartanah, UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise), kini memberi tumpuan ke atas pembangunan segmen kediaman bertanah di kawasan Iskandar Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Pembangunannya, Datuk Roslan Ibrahim, berkata pihaknya yakin pembeli hartanah yang berpotensi tetap memilih kediaman bertanah.

"Permintaan terhadap hartanah bertanah di kawasan Iskandar Malaysia masih kukuh dan berada pada tahap yang baik dan kami berusaha untuk menyediakannya.

"Sehingga kini, terdapat kira-kira 2,832 hektar simpanan tanah UEM Sunrise yang belum dibangunkan di Iskandar Malaysia," katanya selepas majlis memperkenal projek perumahan bertanah terbaru UEM Sunrise - Serimbun - di pusat pameran hartanah UEM Sunrise, di sini.

Roslan berkata, Serimbun dibangunkan di kawasan seluas kira-kira 10 hektar berhampiran Bukit Indah, di sini dengan nilai pelaburan kasar (GDV) RM139.3 juta.

Beliau berkata Serimbun yang menawarkan dua reka bentuk dengan saiz binaan daripada 1,993 hingga 2,117 kaki persegi dan dijual pada harga antara RM630,000 dan RM1.44 juta, dijangka siap pada 2020.

"Bagi Serimbun ini, kami membuat kajian dan berinteraksi dengan pembeli berpotensi bagi mendapatkan pandangan mereka dalam usaha menyediakan kemudahan terbaik untuk projek perumahan ini," katanya.

Menurut Roslan, Serimbun menawarkan 215 unit kediaman, dan sehingga hari ini, sebanyak 1,500 pemohon sudah mendaftar untuk memiliki unit kediaman berkenaan.

Beliau yakin Serimbun bakal menjadi pilihan berdasarkan kedudukannya yang strategik di Iskandar Puteri, termasuk berdekatan Raffles American School dan Marlborough College Malaysia; pusat beli-belah seperti AEON Bukit Indah dan Mall Of Medini, Columbia Asia Hospital dan Gleneagles Medini Hospital serta taman tema Legoland Malaysia dan Sanrio Hello Kitty Town. - BERNAMA

235 dibaca
Berita Harian X