Sabtu, 27 Januari 2018 | 2:45pm
PENGARAH Urusan JKG Land Bhd, Datuk Teh Kean Ming. - Foto Khairull Azry Bidin

The Era@Duta North jamin kepuasan

KUALA LUMPUR: JKG Land Bhd, hari ini menandatangani perjanjian dengan kontraktor utamanya, China State Construction Engineering Corporation (CSCEC) dan empat rakan kongsi sinergi bagi projek Fasa Pertama The Era@Duta North, yang dikendalikan pemaju hartanah itu.

Perjanjian dengan China State Construction & Engineering (M) Sdn Bhd, anak syarikat CSCEC, adalah bagi kontrak kerja struktur utama manakala rakan sinergi berkenaan bakal menyediakan pakej hiasan dalaman untuk projek pembinaan apartmen yang dibangunkan di Segambut.

Pengarah Urusan JKG Land Bhd, Datuk Teh Kean Ming, berkata kerjasama JKG Land dengan CSCEC dalam projek The Era itu membuktikan keupayaannya menyediakan jaminan produk terbaik kepada pembeli.

Berdasarkan pengalaman dalam bidang pembinaan, beliau yakin CSCEC mampu memberikan yang terbaik dari segi jaminan masa dan kualiti dalam pembinaan The Era.

Kean Ming berkata, selari slogan 'Bina Untuk Kehidupan', JKG Land memilih empat jenama terkemuka dalam industri perumahan bagi menyediakan hiasan dalaman dan kelengkapan kediaman yang terbaik.

"Kami memilih Signature Kitchen bagi almari pakaian dan kabinet dapur, Teka untuk perkakasan dapur, Daikin untuk sistem penyaman udara dan Rubine bagi sistem pemanasan air.

"Ini adalah jenama yang menjadi pilihan bagi industri kelengkapan kediaman dan kami gembira menjadi sebahagian daripada perkongsian yang mampu memberi tambah nilai bagi projek dibangunkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis menandatangani perjanjian antara pemaju perumahan itu dengan China State Construction & Engineering (M) Sdn Bhd dan pelancaran pakej hiasan dalaman di Era Gallery, di sini, hari ini.

Turut hadir pengarah Urusan China State Construction & Engineering (M) Sdn Bhd, Lyu En; Pengarah Projek Signature Kitchen, Elma Lim; Pengurus Besar Jualan Teka, Jackson Low; Penolong Pengurus Besar Daikin Malaysia, Akihiro Okumura dan wakil Rubine, Audrey Ang.

Kean Ming berkata, pihaknya yakin dengan pelaburan yang dibuat bagi tujuan tambah nilai terhadap produk dan perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna.

Bagi menambahkan keyakinan pengguna, katanya, JKG Land menyediakan pakej khusus bagi kelengkapan hiasan dalaman dapur dan bilik tidur menerusi Auspicious Collection Package yang bukan saja menawarkan diskaun terbaik kepada pembeli tetapi juga jaminan perkhidmatan selepas jualan.

Fasa Pertama The Era@Duta North membabitkan kawasan seluas 4.45 hektar, merangkumi enam menara kediaman, satu pusat beli-belah tiga tingkat dan kawasan kehijauan seluas lebih 2.43 hektar.

Binaan menara kediaman yang mencapai ketinggian antara 53 hingga 63 tingkat menjadikannya antara kumpulan bangunan tertinggi di kawasan itu.

The Era@Duta North membawa konsep kediaman dengan aspirasi memberikan keseimbangan alam semula jadi yang menyegarkan dan indah selain menyediakan kemudahan berasaskan teknologi terkini.

Pembangunan pegangan bebas ini merangkumi tiga fasa perumahan bertemakan 'Dawn', 'Noon' dan 'Eve' dengan fasa pertama membabitkan dua menara dilengkapi 921 servis apartmen dijangka siap pada 2021.

195 dibaca
Berita Harian X