Jumaat, 26 Januari 2018 | 5:53pm
DATUK Seri FD Iskandar.

Komitmen tingkat kuasa beli rumah

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) yakin usaha kerajaan untuk menetapkan kadar faedah pinjaman perumahan yang lebih rendah dapat meningkatkan kuasa membeli rumah dalam kalangan rakyat.

Ketika ini, kadar faedah pinjaman perumahan di Malaysia adalah 4.65 peratus, manakala negara lain seperti Singapura adalah 1.45 peratus dan Australia 5.33 peratus.

Presidennya, Datuk Seri FD Iskandar, berkata tindakan itu juga sekali gus dapat merancakkan kadar pemilikan rumah khususnya bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40).

Beliau berkata, situasi itu seterusnya dapat diterjemahkan ke dalam status ekonomi yang lebih baik untuk rakyat memandangkan nilai hartanah akan terus meningkat pada setiap tahun.

"Cadangan itu membuktikan komitmen kerajaan terhadap agenda perumahan nasional kepada rakyat, malah sebelum ini REHDA beberapa kali turut menyuarakan pandangan sama.

"Langkah ini juga dapat meningkatkan kuasa membeli serta kadar pemilikan rumah dalam kalangan rakyat, yang mana mereka mengalami kesukaran untuk memiliki rumah idaman sendiri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada 25 Januari lalu, kerajaan mengumumkan cadangan untuk menetapkan kadar faedah pinjaman perumahan yang lebih rendah bagi mengurangkan beban kewangan rakyat.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Isu Perumahan di Perdana Putra.

Kertas cadangan mengenainya akan dikemukakan kepada Kabinet dalam masa terdekat dan ketika ini, cadangan berkenaan sedang diusulkan kepada bank komersial untuk pertimbangan, sebelum arahan lanjut dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM).

FD Iskandar berkata, meskipun wujud kesan positif dari penurunan kadar faedah pinjaman itu, pihaknya menegaskan kemudahan pembiayaan akhir masih menjadi komponen penting dan ia mestilah selari dengan cadangan yang dikemukakan.

"Cabaran utama yang pembeli terpaksa tempuhi, terutamanya generasi muda yang pertama kali ingin membeli rumah adalah untuk mendapatkan pinjaman.

"Sekiranya isu ini dapat ditangani dengan baik di samping kelebihan cadangan kadar faedah yang rendah, lebih ramai dapat merealisasikan impian memiliki rumah sendiri," katanya.

395 dibaca
Berita Harian X