;
Rabu, 24 Januari 2018 | 4:44pm
DATUK Chang Khim Wah (kiri) ketika berucap di Invest Malaysia 2018 di sini, hari ini.- Foto Hafiz sohaimi

Eco World unjur jualan RM6 bilion

KUALA LUMPUR: Eco World Group, pemaju hartanah terkemuka optimis mencapai sasaran jualan sebanyak RM6 bilion di bawah jenama Eco World bagi tahun kewangan 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Development Group Bhd (Eco World Malaysia), Datuk Chang Khim Wah, berkata sebanyak RM3.5 bilion disumbangkan projek tempatan di bawah Eco World Malaysia, manakala bakinya dari Eco World International Bhd.

"Walaupun pasaran berdepan situasi mencabar secara berterusan bukan saja di Malaysia, malah juga di United Kingdom (UK) dan Australia, kami optimis untuk mencapai sasaran itu.

"Ini berdasarkan rekod pencapaian cemerlang bagi kedua-dua jenama yang mana pasukan kami berjaya mengatasi pelbagai halangan untuk mencatatkan jualan memberangsangkan tahun ke tahun," katanya di Invest Malaysia 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World International, Datuk Teow Leong Seng.

Sehingga 31 Oktober 2017, jualan daripada projek di Malaysia, UK dan Australia mencecah RM21 bilion dengan jualan tahunan mencecah RM6 bilion bagi tiga tahun berturut-turut.

"Memasuki 2018, kami semakin kukuh apabila menjadi pemaju pertama membuat kemunculan di pasaran. Di Malaysia, Eco World memiliki 18 projek sedang dalam pembinaan dengan dua projek lagi akan dilancarkan," katanya.

Beliau berkata, Eco World Malaysia akan menyerahkan kira-kira 10,000 unit hartanah kepada pelanggannya pada penghujung tahun 2018 dan ia dijangka meningkat sehingga 15,000 unit menjelang akhir 2019.

"Sejak tiga tahun lalu, Eco World Malaysia berjaya menarik lebih 2.8 juta pelawat ke galeri projek hartanah kami di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai projek di luar negara, Leong Seng berkata, Eco World merekodkan jualan kukuh di ketiga-tiga projeknya di UK iaitu London City Island, Embassy Gardens dan Wardian London, walaupun berdepan ketidaktentuan Brexit.

"Bagi projek di Australia iaitu West Village di Parramatta hampir dijual sepenuhnya dan jualan di Yarra One, Melbourne dijangka meningkat selepas kerja pembinaan bermula," katanya.

Mengulas mengenai usaha sama (JV) dengan pemaju Be Living, Teow berkata, ia dijangka mengukuhkan lagi kehadirannya di pasaran antarabangsa.

"Di sebalik mengukuhkan pasaran kami di UK, kami akan menubuhkan pasukan pengurusan pembangunan sendiri dalam usaha menawarkan produk yang lebih pelbagai kepada pelanggan," katanya.

Katanya, 12 lokasi projek yang diumumkan berada di jajaran komuter di London dengan semua projek berada dalam jarak 10 hingga 20 minit berjalan kaki ke stesen berhampiran dan mengambil masa antara 30 hingga 40 minit perjalanan ke tengah London.

"Sementara kami masih mengkaji pelan pembangunan dengan lebih terperinci, satu atau dua projek dijangka dilancarkan menjelang akhir tahun ini.

"Dengan itu, kami menyasarkan tambahan jualan RM500 juta hingga RM600 juta kepada sasaran jualan RM2 bilion daripada projek sedia ada, sekali gus mencipta jualan sebanyak RM2.5 bilion atau lebih pada tahun kewangan 2018," katanya.

293 dibaca
Berita Harian X