Isnin, 22 Januari 2018 | 2:04pm
DATUK Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (empat kiri) bersama-sama Pengarah Urusan Kumpulan SkyWorld, Datuk Ng Thien Phing (tiga kanan) memotong riben pada majlis pelancaran SkyWorld Qualitiy Centre di SkyWold Property Gallery, Jalan Ayer Jerneh, Setapak, turut sama Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari (tiga kiri) dan Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah (dua kiri). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Pusat Kualiti SkyWorld ubah landskap hartanah negara

KUALA LUMPUR: SkyWorld Development Group (SkyWorld) menerokai era baharu hartanah Malaysia melalui pelancaran Pusat Kualiti SkyWorld, hari ini, sebagai komitmen menyediakan pembangunan bermutu di ibu negara.

Majlis disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu menandakan langkah berani SkyWorld dalam mematuhi standard kualiti QLASSIC bagi semua projek pembangunan dikendalikannya.

Tengku Adnan berkata, pembukaan Pusat Kualiti SkyWorld bernilai RM3.8 juta yang pertama seumpamanya di Malaysia, selari usaha mengubah landskap hartanah negara menerusi penyediaan amalan kualiti lebih profesional.

Sebagai syarikat pemaju terbesar yang turut menyumbang kepada program Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), katanya, langkah SkyWorld menyediakan kualiti QLASSIC bagi semua projek perumahannya harus dicontohi.

"SkyAwani dibangunkan SkyWorld adalah rumah RUMAWIP pertama mematuhi piawaian QLASSIC seperti ditetapkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

"Saya berharap pemaju lain turut mengikut inisiatif SkyWorld dengan menawarkan rumah berkualiti, selain bekerjasama rapat dengan kerajaan membangunkan rumah mampu bilik untuk kehidupan rakyat yang sempurna.

"Kerajaan sentiasa mahu membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, terutama di Wilayah Persekutuan ini," katanya ketika berucap merasmikan Pusat Kualiti SkyWorld di sini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan SkyWorld, Datuk Ng Thien Phing, dan Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah.

Sementara itu, Thien Phing berkata, sebagai pemaju hartanah, SkyWorld sentiasa berusaha menyediakan lebih banyak nilai tambah dalam produk ditawarkan.

"Berdasarkan maklumat CIDB, sebanyak 7,600 projek pembangunan disiapkan setiap tahun tetapi hanya 4.1 peratus kualitinya diperakui.

"Kami mahu menjadi terbaik dalam empat peratus itu dan kewujudan Pusat Kualiti ini sebagai bukti ikrar kami kepada pembeli," katanya.

Pusat Kualiti SkyWorld menunjukkan komitmen syarikat itu mengambil kira kualiti QLASSIC atau CONQUAS bagi setiap projek dikendalikannya.

QLASSIC adalah kaedah digunakan dalam menilai kualiti mutu kerja projek pembangunan berdasarkan Standard Industri Pembinaan (CIS).

350 dibaca
Berita Harian X