Rabu, 10 Januari 2018 | 3:33pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan AYER Holdings Bhd, Eugene Khoo Kong Hooi. - Supian Ahmad

AYER susun semula pelan induk Bukit Puchong

PETALING JAYA: AYER Holdings Bhd (AYER), kumpulan hartanah yang tersenarai di Bursa Malaysia kini dalam proses menyusun semula pelan induknya di Bukit Puchong untuk terus mengekalkan pertumbuhan lebih mapan pada masa depan.

AYER yang sebelum ini dikenali sebagai TAHPS Group Bhd memiliki rekod pencapaian yang meyakinkan dengan sejarah pertumbuhan mantap dan berterusan selama 100 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Eugene Khoo Kong Hooi, berkata syarikat akan memiliki lebih banyak pelancaran jualan dan aktiviti di Bukit Puchong pada tahun ini kerana masih memiliki simpanan tanah pegangan kekal yang belum dimajukan seluas 242.81 hektar di dalam serta kawasan sekitarnya.

"Kami kini berada di tahap perancangan selanjutnya dengan perunding untuk pembangunan sebuah perbandaran yang 'segar semula'.

"Selain itu, kami juga memfokuskan komponen lain seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan rekreasi sebagai usaha meningkatkan nilai perbandaran kami," katanya selepas majlis memperkenalkan jenama hartanah terbaharunya, AYER, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata AYER juga dalam peringkat perbincangan awal dengan beberapa pihak terbabit yang terdiri daripada pengendali penjagaan kesihatan di peringkat tempatan dan luar negara berhubung perkara itu.

"Berdasarkan trend semasa, setiap perbandaran perlu memiliki aspek seumpama itu kerana ia menjadi keperluan serta memenuhi kehendak pasaran," katanya.

Menurutnya, perincian berhubung perancangan itu akan dimaklumkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Mengulas mengenai pelancaran jenama terbaharunya, Kong Hooi berkata, jenama hartanah AYER merangkumi kedua-dua aktiviti syarikat iaitu pembangunan dan pegangan hartanah.

381 dibaca
Berita Harian X