Sabtu, 30 September 2017 | 6:48pm
KETUA Pegawai Operasi Gamuda Land, Ngan Chee Meng (tengah) dan Pengurus Besar Projek Gamuda Garden, Wong Yik Fong (kiri) sertaKetua Pemasaran dan Jualan Gamuda Land, GG Kam Lee Lan semasa pembukaan Gamuda Taman di Jalan Sungai Serai. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Gamuda Land lancar 134 unit rumah berkembar

RAWANG: Pemaju hartanah, Gamuda Land Sdn Bhd hari ini, melancarkan fasa kedua Gamuda Gardens, membabitkan 134 unit rumah berkembar yang dijangka siap penghujung 2018.

Fasa pertama membabitkan 181 unit yang dilancarkan pada Februari lalu, sudah habis dijual.

Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Ngan Chee Meng menjangkakan sambutan menggalakkan untuk fasa terbaru itu seperti fasa pertama berikutan reka bentuk perumahan dikelilingi alam semula jadi.

"Pembeli hari ini mahu kediaman selesa dan hijau. Justeru, kami komited mewujudkan bandar perkampungan hijau yang membabitkan pembangunan berperingkat dalam tempoh 15 tahun.

"Kami turut menawarkan rumah berharga lebih murah daripada pasaran. Untuk rumah berkembar, bermula daripada RM750,000 seunit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran dan pembukaan fasa kedua Gamuda Gardens.

Yang turut hadir, Ketua Pemasaran dan Jualan Gamuda Land, GG Kam Lee Lan dan Pengurus Projek Gamuda Gardens, Wong Yik Fong.

Chee Meng berkata, syarikat melabur lebih RM200 juta untuk menyediakan persekitaran bandar mesra alam dan kejiranan dekat dengan akses jaringan lebuh raya dan ibu kota Kuala Lumpur.

Beliau percaya dengan tawaran lokasi, kemudahan dan persekitaran yang baik, akan menarik minat pembeli, sekali gus mewujudkan sebuah bandar untuk tempat tinggal terbaik menjelang 2050.

Gamuda Gardens terletak di persimpangan tiga lebuh raya utama, iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Guthrie dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Akses berkenaan menjadikan Gamuda Gardens begitu hampir dengan pusat bandar.

Selain itu, Sistem Pertukaran Bertingkat Kuang menawarkan secara langsung akses dari Lebuhraya Utara-Selatan terus ke Gamuda Gardens.

Gamuda Gardens dibina berkonsepkan taman, akan mempunyai lima tasik yang disepadukan dengan taman berpusat seluas 20 hektar, selain tasik, air terjun serta trek berbasikal.

Ia turut menawarkan pelbagai taman tema, iaitu Wetlands, Playland Adventure dan Lookout Points dengan pemandangan pergunungan semula jadi dan panorama persekitaran hijau.

Orang ramai boleh mengunjungi unit pameran fasa kedua yang dibuka di galeri jualan Gamuda Gardens, Rawang.

1093 dibaca
Berita Harian X