Khamis, 11 Oktober 2018 | 4:18pm
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik bersama Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad bergambar bersama barisan penaja pengiklanan selepas pelancaran Kempen Promosi dan Pengiklanan Pameran Permotoran Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018 di Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

KLIMS'18 tawar pelbagai tarikan baharu dan penambahbaikan

KUALA LUMPUR: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memperuntukkan RM7 juta untuk kempen pengiklanan dan promosi besar-besaran bagi Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS’18) dalam usaha menjana publisiti meluas untuk acara itu.

KLIMS’18 yang akan berlangsung pada November ini bakal menyaksikan pameran terbabit dipromosikan melalui platform media seperti rangkaian media cetak, digital, penyiaran dan pengiklanan luar.

Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berkata pemain industri automotif kini bersedia membawakan semula pameran motor ikonik di Malaysia itu yang bakal menawarkan pelbagai tarikan untuk peminat kenderaan dan orang ramai selepas penganjurannya terhenti selama lima tahun sejak edisi KLIMS lalu.

“Pameran ini adalah platform pelancaran model baharu kereta penumpang, motosikal dan kenderaan komersil di negara ini dan tujuh kereta konsep juga akan turut serta di samping pengenalan produk automotif yang inovatif,” katanya pada pelancaran kempen pengiklanan dan promosi KLIMS’18 di sini, hari ini.


Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (dua dari kanan) bersama Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad bergambar bersama barisan penaja utama, Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Sdn Bhd, Roslan Abdullah (kiri), Pengarah Pemasaran UMW Toyota Sdn Bhd, Justin Kwan dan Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zainal Husin (kanan) yang menaja tiga buah kenderaan untuk cabutan bertuah selepas pelancaran Kempen Promosi dan Pengiklanan Pameran Permotoran Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018 di Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Kumpulan New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) melalui dua jenama akhbarnya iaitu Berita Harian dan New Straits Times (NST) menjadi satu daripada organisasi media yang turut menjalinkan kerjasama dengan MAA bagi mempromosikan KLIMS’18.

Beliau berkata, pengunjung acara itu akan dapat merasai penambahbaikan yang bakal menjadikan acara itu benar-benar berbeza dari KLIMS sebelumnya.

“Terdapat banyak tarikan baharu seperti kenderaan hasil binaan dan imaginasi pelajar dari universiti tempatan, pameran kenderaan eksotik, limosin terpanjang di Malaysia dan seni hiasan yang dibuat khusus untuk motosikal dan kenderaan lain,” katanya.

Harga tiket masuk ke KLIMS’18 adalah RM20 untuk dewasa bagi hari bekerja dan RM25 (hujung minggu) dan RM5 untuk pelajar serta kanak-kanak 12 tahun ke bawah sepanjang minggu di mana ia juga boleh dibeli secara atas talian di AirAsia Red Tix dengan promosi menarik.

Pada kali ini, pengunjung berpeluang untuk memenangi dan membawa pulang tiga buah kereta dari jenama paling popular di Malaysia iaitu Toyota C-HR, Honda City dan Perodua Myvi melalui pembelian tiket masuk ke acara terbabit.

KLIMS’18 yang membawakan tema ‘Beyond Mobility’ akan diadakan bermula 23 November hingga 2 Disember ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dengan pameran akan dibuka dari jam 11 pagi hingga 10 malam pada hari bekerja dan 10 pagi hingga 10 malam pada hujung minggu.

118 dibaca
Berita Harian X