Jumaat, 9 Februari 2018 | 7:00am
TEKNOLOGI terkini minimumkan risiko kemalangan.

Subaru EyeSight tingkat keselamatan pemandu

MENJAWAB panggilan kepada permintaan pelanggan untuk meningkatkan keselamatan pemanduan, Motor Image, pengedar eksklusif kenderaan Subaru di sembilan negara Asia termasuk Malaysia, memperkenalkan Teknologi Bantu Pemanduan terkininya, Subaru EyeSight.

Pengarah Urusan Tan Chong International Ltd, Glenn Tan, berkata EyeSight ialah sistem bagi membantu pemandu membawa kereta lebih selamat dan selesa menerusi enam fungsi, sekali gus meningkatkan keyakinan pemilik memandu kenderaan keluaran daripada Jepun itu.

Katanya, EyeSight menggunakan kamera stereo untuk mengenal pasti kedudukan halangan, kenderaan serta garisan lorong, dan dalam keadaan tertentu, mengaktifkan brek atau mengurangkan pendikit untuk meminimumkan risiko kemalangan. 

Penarafan tertinggi IIHS

"Sejak EyeSight diguna pakai, semua keluaran model 2017 Subaru menerima penarafan tertinggi Insurance Institute for Highway Safety's (IIHS) untuk pencegahan pelanggaran depan di Amerika Syarikat.

"Sistem canggih ini menawarkan tahap kesedaran dan keselamatan lebih tinggi serta menambah keyakinan dalam kalangan pemandu kenderaan Subaru," katanya di Singapura, baru-baru ini.

Beliau berkata, menerusi enam fungsi EyeSight, Pre-Collision Braking memberi amaran kepada pemandu menerusi bunyi 'buzzer'.

Sekiranya tiada tindakan diambil, sistem itu akan mengambil alih dengan mengaktifkan brek supaya dapat mencegah atau mengurangkan impak pelanggaran.

Katanya, Adaptive Cruise Control pula memantau dan mengubah kelajuan kenderaan supaya kekal pada jarak selamat dengan kenderaan di hadapan. Ia melaraskan enjin, transmisi dan brek untuk mengekalkan kelajuan selari dengan aliran trafik.

Kesan halangan di depan

"Apabila EyeSight mengesan halangan di depan kenderaan dan pemandu meletakkan gear pada kedudukan Drive (D) berbanding Undur (R), Pre-Collision Throttle Management berfungsi mematikan output kenderaan itu supaya tiada pelanggaran berlaku.

"Lane Departure Warning memberi amaran kepada pemandu sekiranya kenderaan itu bertukar lorong tanpa memberi isyarat pada kelajuan 50 kilometer sejam (km/j). 

"Lane Sway Warning pula memberi amaran lebih kuat dengan membuat bunyi buzzer dan menyalakan lampu amaran untuk menarik perhatian pemandu. Ia hanya berfungsi pada kelajuan melebihi 60km/j," katanya.

Katanya, Lead Vehicle Start Alert berfungsi untuk memberitahu pemandu menerusi bunyi buzzer dan nyalaan lampu bahawa kenderaan hadapan sudah bergerak ketika kenderaan berhenti sama ada di persimpangan lampu isyarat, atau aliran trafik sesak.

INFO
Teknologi teras Subaru 

  • Enjin Boxer
  • Symmetrical All-Wheel Drive
  • Platform Global Subaru 
249 dibaca
Berita Harian X