Jumaat, 12 Januari 2018 | 7:01am
KUALITI model pemasangan tempatan setara CBU.

Haval H2 CKD ada kelainan

INI adalah kali kedua penulis memandu uji Haval H2, cuma kali ini adalah varian pemasangan tempatan (CKD) di kilang milik Go Auto di Gurun, Kedah.

Meskipun, Haval H2 CKD menampilkan rekaan rim dan tambahan warna baharu, iaitu Haval Blue, namun untuk unit pandu uji penulis, Go Auto bekalkan warna sedia ada iaitu Haval Red.

Apa yang boleh diperkatakan penulis, kenderaan utiliti sukan (SUV) ini masih mengekalkan spesifikasi sama iaitu enjin petrol 1.5L VVT pengecas turbo yang digabungkan dengan kotak gear automatik enam kelajuan.

Dengan jentera yang dimiliki, ia mampu menghambur kuasa sebanyak 147 kuasa kuda (hp) pada 5,600rpm dan tork 210Nm pada 2,200rpm hingga 4,500rpm.

Dari aspek rekaan luaran, Haval H2 CKD dipadankan dengan lampu halogen bersama lampu LED nyalaan siang menjadikannya spesifikasi yang terbaik untuk mereka yang inginkan semua kereta yang tampak eksklusif.

Gril dengan kemasan krom ternganga luas membuatkan ia tampak lebih garang dan menarik selain membuktikan rekaannya kekal segar untuk pasaran semasa.

Rim baharu

Selain rim dan warna baharu, semua ciri lain Haval H2 CKD adalah sama dengan versi import sepenuhnya (CBU) seperti butang tekan mula, masukan tanpa kunci, panel meter multi fungsi dan punat kawal roda stereng.

Ini termasuk ciri penyaman udara dual zon automatik, sistem hiburan audio dan video, kerusi pemandu elektrik 5-tetapan dan bumbung suria boleh laras.

Ciri keselamatan pula mengetengahkan enam beg udara iaitu dua di depan, dua sisi dan dua tirai yang disepadukan bersama sensor dan kamera undur, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), Program Stabiliti Elektronik (ESP) dan penyandar kepala aktif untuk meminimumkan kecederaan spinal.

Haval H2 CKD turut mendapat penarafan lima bintang dalam ujian perlanggaran dilakukan badan keselamatan China, CNCAP.

Sehubungan itu, tidak keterlaluan bagi penulis untuk mengatakan bahawa Haval H2 CKD sebenarnya padat dengan ciri menarik.

Bermula dari rekaan dalaman, Haval H2 CKD ditawarkan dengan kualiti kemasan pada bahagian kabin yang agak menarik dan berkualiti.

Selain tempat duduk dan stereng kuasa dibalut kulit, sistem audio visual dengan skrin sentuh bersaiz 3.5 inci, pendingin hawa automatik dua zon,`sunroof' dan `moonroof' kawalan elektrik, lampu ambien, butang penghidup enjin, dan banyak lagi menjadikan ia agak mewah.

Ketika memandu uji varian Premium automatik, seperti sebelumnya, penulis amat berpuas hati kerana prestasi enjinnya berada dalam keadaan terbaik untuk perjalanan jauh.

Penulis memilih perjalanan agak jauh iaitu dari Putrajaya ke Sungai Petani, Kedah untuk memastikan penulis benar-benar memahami pengendalian Haval H2 CKD ini.

Ia langsung tidak mengecewakan penulis kerana prestasi dan kelancaran enjinnya amat memuaskan serta sangat selesa apabila memandu di jalan bandar atau lebuh raya.

Tidak membosankan

Kedudukan tempat duduk dan bahan yang digunakan untuk menghiasi kabin dalam juga menceriakan dan tidak membosankan.

Dari segi pemanduan, penulis tidak menemui 'cacat cela' yang besar sepanjang enam hari memandu uji.

Penggunaan bahan api juga amat memuaskan kerana setangki penuh H2 mampu meneruskan perjalanan melebihi 400 kilometer.

Berdasarkan faktor pemilikan, penulis dapat katakan bahawa ia amat berbaloi untuk wang apabila memiliki Haval H2 CKD kerana ruang kabin yang selesa, but yang luas serta prestasi enjin tidak mengecewakan.

Sepanjang perjalanan jauh penulis bersama keluarga, ia langsung tidak menjemukan, malah penumpang belakang juga selesa menikmati pemanduan meskipun adakalanya terpaksa menempuh trafik sesat.

Berdasarkan penilaian penumpang belakang juga, mereka menjelaskan Haval H2 CKD tidak hanya selesa malah menganggap ia amat sesuai kepada keluarga kecil.

INFO
Haval H2 CKD

* Harga atas jalan termasuk insurans dan cukai jalan

- Varian Comfort Auto RM98,950

- Varian Premium Auto RM101,950

* Enjin petrol 1.5L VVT pengecas turbo, kotak gear automatik enam kelajuan

* 147 hp @ 5,600rpm dan tork 210Nm @ 2,200rpm-4,500rpm

* 6 beg udara, sensor dan kamera undur, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), Program Stabiliti Elektronik (ESP) dan penyandar kepala aktif.

667 dibaca
Berita Harian X