Jumaat, 12 Oktober 2018 | 3:32pm
HASLIMI mengharungi perjalanan hampir 1,000 kilometer dari Daro ke Kuching dengan hanya menaiki motosikal kapcai demi anaknya yang kini menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak. - NSTP/Khalid Latip

Tunggang 'kapcai' lebih 1,000 kilometer demi anak

MUKAH: Sanggup meredah perjalanan lebih 1,000 kilometer dari Mukah ke Kuching hanya menaiki motosikal ‘kapcai’ demi anak tersayang yang menderita kanser otot.

Itulah pengorbanan seorang ayah, Haslimi Hassan, 42, dari Kampung Badong, Daro, di sini demi anak perempuannya, Aileya Syafiera, 2, yang sedang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching.

“Perjalanan menaiki motosikal dari Daro ke Kuching mengambil masa 12 hingga 13 jam bergantung kepada keadaan jalan dan cuaca. Kebiasaannya, saya memulakan perjalanan jam 7 pagi dan tiba di Kuching pada jam 8 malam.

“Sepanjang perjalanan itu, saya berehat beberapa kali untuk melepaskan penat sambil menghilangkan rasa mengantuk,” katanya ketika ditemui NSTP, di sini hari ini.

Haslimi berkata, beliau mula bermotosikal ke Kuching sejak anak perempuannya itu dirujuk ke HUS pada Mei dan Jun lalu.

Katanya, beliau sekali lagi berbuat demikian apabila Alieya menerima rawatan susulan kali ketiga pada 9 Oktober lalu.

“Saya memilih motosikal bagi menjimatkan kos. Lagipun, saya lebih bebas bergerak berbanding terpaksa menunggu jika menggunakan kenderaan awam.

“Ada ketikanya saya terpaksa berhenti jika hujan lebat, angin kencang dan ribut petir. Sepanjang perjalanan itu, hanya Tuhan yang tahu bertapa risau hati saya apabila mengenang keadaan Alieya.

“Malah, setiap kali melihat anak bergelut menahan kesakitan, perasaan saya dan isteri bagai direntap. Kami hanya mampu menahan kesedihan dalam hati,” ujarnya.

Haslimi bersama isteri Khatizah Azmi, 30, tidak menyangka puteri kesayangan mereka itu menderita kanser otot tahap tiga kerana anaknya itu baru dikesan mengalami bengkak di belakang paha kanan April lalu.

“Tidak lama selepas itu, Aileya dirujuk ke HUS di Kuching dan pakar mengesahkan dia menderita penyakit berkenaan.

“Ibu bapa mana yang sanggup melihat anak sekecil itu menanggung derita sebegitu, namun kami sedaya upaya berusaha untuk memastikan apa saja penawar dapat diberikan asalkan kanser itu dapat dipulihkan.

Saya juga mengharapkan doa supaya anak saya segera sembuh,” katanya.

Bagi orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini, sumbangan ikhlas boleh disalurkan melalui akaun Agro Bank Haslimi Hassan (2-00-6842-00001524-4).

2677 dibaca
Berita Harian X