Selasa, 13 March 2018 | 9:44pm

Siling hotel runtuh susulan hujan lebat

KUCHING: Hujan lebat selama empat jam sejak 2 pagi tadi mengakibatkan sebahagian siling tingkat empat di hotel terkemuka, Hotel Waterfront , di bandar raya ini, runtuh.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, bahagian bumbung luar bangunan terbabit tidak mampu menampung jumlah takungan air hujan luar biasa, sekali gus menyebabkan struktur siling menjadi tidak stabil lalu runtuh.

Dalam video berdurasi 21 saat yang dirakam orang awam, jelas kedengaran bunyi titisan air hujan dan kelihatan sebahagian siling lompong dan bertaburan di kawasan lantai premis itu.

Hotel Waterfront dan pusat beli-belah terkenal, Plaza Merdeka, berkongsi bangunan sama.

Bagaimanapun, tiada laporan kecederaan direkodkan kerana ketika kejadian premis berkenaan belum lagi dibuka.

Selepas kejadian, hanya beberapa bahagian kecil bangunan berkenaan dibuka kepada orang awam dengan kebanyakan kedai beroperasi seperti biasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Abang Junaidi Abang Anuar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan, dengan satu laporan polis sudah dibuat pihak pengurusan hotel bagi tuntutan insurans pada jam 11 pagi.

"Kejadian siling runtuh berlaku di kawasan jambatan 'foyer' di bahagian Plaza Merdeka yang menyebabkan permaidani di Hotel Waterfront rosak," katanya ketika dihubungi NSTP, di sini.

517 dibaca
KEADAAN siling runtuh berlaku di kawasan jambatan foyer di bahagian Plaza Merdeka Kuching. - Foto Ihsan Pembaca
Berita Harian X