Selasa, 13 March 2018 | 10:37am
MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Komited suburkan penghayatan al-Quran

ALOR SETAR: Kerajaan negeri komited memastikan penghayatan al-Quran menerusi pengajaran dan pembelajaran ilmu agama, terus subur di Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata pihak kerajaan sentiasa berusaha membantu sekolah agama dengan pelbagai inisiatif, termasuk melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAK), Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dan Lembaga Maktab Mahmud.

"Melalui Bajet 2018 Kedah yang saya bentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12 November tahun lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta bagi menaik taraf Maktab Mahmud dan Maahad Tahfiz Sains Kedah, serta meneruskan pemberian dana pengurusan RM2,000 sebulan kepada 11 pondok bernaung bawah Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia.

"Sebanyak 20 lagi pondok dan 64 maahad tahfiz berdaftar dengan JHEAK menerima dana khas 'one-off' RM10,000," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kedah di Dewan Sri Negeri di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid.

Seterusnya, Ahmad Bashah berkata, kerajaan negeri turut memperkenalkan Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) Masjid dengan dana RM3 juta bagi memperkasakan fungsi masjid, termasuk boleh digunakan untuk kepentingan anak kariah.

Katanya, elaun bulanan imam juga dinaikkan daripada RM800 kepada RM1,200, elaun bilal daripada RM750 kepada RM900 dan elaun siak daripada RM475 kepada RM700.

Sementara itu, masing-masing empat qari dan qariah akan memperdengarkan bacaan mereka pada majlis tilawah berkenaan yang dijadualkan berlangsung hingga esok.

Johan qari dan qariah akan mewakili Kedah ke Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 1 hingga 7 April depan.

261 dibaca
Berita Harian X