Rabu, 14 Februari 2018 | 11:14pm
PENGARAH Pendidikan Negeri Sembilan, PKharudin Ghazali (kiri) berucap pada sesi sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abd Rahman, Gemas. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Jawatankuasa siasatan teliti faktor kecuaian

GEMAS: Faktor kecuaian antara diteliti jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kejadian seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, yang maut terkena bilah pisau dari traktor mesin rumput, semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pkharuddin Ghazali berkata,siasatan awal mendapati pihak sekolah sudah memaklumkan kontraktor pembersihan terbabit mengenai aktiviti raptai pelajar di padang sekolah berkenaan.

Menurutnya, dua hari sebelum kejadian, kontraktor berkenaan menjalankan kerja menebang pokok di padang sekolah itu sebelum meneruskan kerja memotong rumput pada hari kejadian.

"Guru yang menguruskan aktiviti raptai pelajar sempena hari sukan sekolah terlebih dahulu memaklumkan kepada kontraktor mengenai aktiviti raptai yang akan bermula pada jam 9.30 pagi.

"Namun, kontraktor memberitahu kerja pemotongan rumput dijalankan pada jarak jauh daripada pelajar, iaitu 50 meter sebelum mereka meneruskan kerja sehinggalah insiden itu berlaku," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di sekolah berkenaan, hari ini.

Katanya, jawatankuasa siasatan yang diketuainya itu turut disertai pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Tampin, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), hospital serta polis.

Pkharuddin berkata, kerjasama semua pihak yang terbabit bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh termasuk meneliti aspek jentera, peralatan dan kaedah kontraktor menguruskan kerja berkenaan.

"Kita akan berbincang secara baik bagi mengelak konflik dan memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak tragedi sama berulang," katanya.

Ditanya sama ada JPNS akan menghentikan sementara kontrak kontraktor itu sehingga siasatan selesai, Pkharuddin memberitahu tiada keperluan untuk berbuat demikian buat masa ini.

Katanya, kontraktor itu baru dilantik menjalankan kerja pembersihan di sekolah berkenaan pada 1 Januari lalu dan siasatan mendapati mereka tiada sebarang rekod buruk.

Sementara itu, Pkharuddin berkata, pihak sekolah akan mengadakan sesi kaunseling secara berkelompok dan individu kepada pelajar sebaik sesi persekolahan bermula, Selasa depan.

"Pihak sekolah juga akan mengadakan taklimat mengenai aspek keselamatan kepada semua pelajar selain membuat kunjungan berjadual kepada tiga keluarga mangsa terbabit," katanya.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, Nur Afini Roslan, 14, bersama dua rakannya, Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, menjalani latihan perbarisan sempena hari sukan sekolah yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Ketika mereka berada di padang sekolah, jentera berkenaan pada masa sama menjalankan aktiviti memotong rumput sebelum bilah pisau mesin pemotong rumput terpelanting dan terkena mangsa.

Berikutan kejadian, Nur Afini maut di lokasi berikutan kepalanya terpotong dua manakala Abdullah cedera di telinga kanan dan Mohd Farhan Reza cedera di belakang kepala.

888 dibaca
Berita Harian X