Isnin, 29 Januari 2018 | 8:28pm
DATUK Mohammad Zahir Khalid (belakang empat kanan) bergambar dengan peserta yang menerima sijil perhargaan di Majlis Penghargaan Larut British Malaya. - Foto Nor Raidah Awang

Dream Zone taman tema MAPS dibuka Mac

IPOH: Tarikan utama taman tema, Movie Animation Park Studios (MAPS) iaitu  Dream Zone, dijangka dibuka kepada pengunjung Mac ini sebaik beberapa penambahbaikan dilakukan seperti ditetapkan pihak DreamWorks. 

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri,  Datuk Mohammad Zahir Khalid, berkata hasil lawatan dan pemeriksaan dilakukan pada minggu lalu, mendapati beberapa spesifikasi termasuk peralatan, perlu dipenuhi. 

Katanya, ia hanya membabitkan beberapa perkara termasuk aspek teknikal seperti penggunaan warna pada jenama. 

"Sebagaimana kita tahu, ini membabitkan animasi dan keperluannya sering berubah mengikut perkembangan terkini apa yang kita jangkakan pada waktu itu. Bila tiba masanya ada pula teknologi baharu. 

"Mereka (Dreamworks) mahu teknologi yang bersesuaian dengan keadaan sekarang, jadi kita kena ikut ketetapan itu," katanya ketika ditemui media pada Majlis Penghargaan Larut British Malaya di Hotel M Roof, di sini hari ini. 

Sebelum ini media tempatan melaporkan Dream Zone yang menampilkan watak animasi DreamWorks seperti Megamind, The Croods, Casper The Friendly Ghost dan Mr Peabody & Sherman itu dijadual dibuka pada bulan ini. 

Mohammad Zahir berkata, pihaknya lebih mengutamakan keselamatan pengunjung dengan memastikan terlebih dahulu semua peralatan berada dalam keadaan baik. 

"Dari segi audit keselamatan, kita sudah selesai dan berdasarkan laporan kita terima, pada Mac ini Dream Zone boleh dibuka," katanya.

484 dibaca
Berita Harian X