Ahad, 14 Januari 2018 | 1:57pm
YAHYA (tengah) menyerahkan sumbangan persekolahan kepada murid sekitar Parlimen Putatan sambil diperhatikan Muhammad Yadzan (kanan) pada Program Ziarah Kasih Happy 2 School Parlimen Putatan di Putatan, hari ini. - Foto Mohd Adam Arinin

'Jangan dengar dakyah tukar kerajaan'

PUTATAN: Rakyat di Sabah tidak perlu terpengaruh dengan dakyah pembangkang untuk menukar kerajaan sedangkan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sekarang mempunyai prestasi yang baik dan komited membantu rakyat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin, berkata rakyat perlu berterima kasih dan terus menyokong BN untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Kalau kerajaan (BN) baik, setiap hari membantu rakyat, adakah kita mahu tukar lagi? Kita tahu kerajaan baik hati, maka kita seharusnya membayar balik dengan mengembalikan kerajaan BN pada PRU kelak.

"Pelbagai jenis bantuan disalur kepada rakyat tanpa mengira menjelang pilihan raya atau selepas pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Ziarah Kasih Happy 2 School Parlimen Putatan di sini, hari ini.

Program anjuran Kelab Putra 1Malaysia dan UMNO Putatan itu mengagihkan bantuan beg dan pakaian seragam sekolah kepada 1,000 murid dari 13 sekolah rendah di kawasan Parlimen Putatan.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kelab Putra 1Malaysia, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad; Timbalan Ketua UMNO Putatan, Datuk Arsit Sedi; Ketua Pergerakan Wanita UMNO Putatan, Juriah Palasin dan Ketua Pemuda UMNO Putatan, Shahelmey Yahya.

Sementara itu, Yahya yang juga Ketua UMNO Putatan, yakin Putatan kekal menjadi antara kubu kuat BN dan menyumbang semua kerusi untuk memastikan kemenangan BN pada PRU akan datang.

"Kita akan sumbang semua kerusi di bahagian Putatan ini kepada BN pada PRU akan datang seperti yang dapat kita lakukan pada beberapa pilihan raya sebelum ini," katanya.

Tiga kerusi milik BN di bahagian ini iaitu Parlimen Putatan yang ketika ini disandang Datuk Dr Marcus Makin Mojigoh daripada Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas diwakili Yahya dan DUN Tanjung Aru yang disandang Datuk Edward Yong Oui Fah daripada Parti Bersatu Sabah (PBS).

Dalam hal lain, Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, berkata pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas, iaitu sekolah baharu di Parlimen Putatan dijangka dimulakan tahun ini.

Beliau berkata, tender melaksanakan pembinaan sekolah berkenaan sudah dibuat dan prosesnya dijangka selesai dalam masa terdekat.

"Sekolah menengah baharu ini sangat mendesak kerana kita kekurangan sekolah menengah di Putatan. Dua sekolah menengah yang ada di Putatan ketika ini tidak mampu menampung keperluan penduduk di sini," katanya.

432 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »