Ahad, 14 Januari 2018 | 1:52pm
EMPAT potongan cengkerang dirampas dengan penahanan dua awak-awak di Pulau Kerindingan, Semporna. - Foto ihsan APM
DUA awak-awak ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti menangkap dan membunuh penyu di Pulau Kerindingan, Semporna. - Foto ihsan APM

Pemburu penyu ditahan

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua awak-awak warga asing kerana disyaki terbabit dalam aktiviti menangkap dan membunuh penyu di Pulau Kerindingan, di sini, awal pagi tadi.

Dua awak-awak berusia 15 dan 35 tahun ditahan dalam kejadian jam 1.30 pagi itu.

Pengarah Maritim Malaysia Semporna, Leftenan Komander Maritim Amiludin Yenggah, berkata sepasukan anggota menggerakkan bot ronda bagi membanteras penangkapan dan pembunuhan penyu di kawasan pulau berkenaan.

"Susulan operasi itu, Maritim Malaysia menahan dua awak-awak yang tiada pengenalan diri dan pemeriksaan lanjut menemui empat potongan cengkerang penyu.

"Kita turut menemui beberapa peralatan memburu penyu di atas bot pam dinaiki suspek," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Amiludin berkata, penangkapan dan pembunuhan penyu dikesan berlaku di daerah ini kerana dagingnya mendapat permintaan yang tinggi daripada penggemar makanan eksotik.

"Kedua-dua suspek ditahan mengikut Enakmen Pemuliharan Hidupan Liar 1997 dan Akta Imigresen 1959/63 untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa bersiap-sedia mengekang aktiviti menyalahi undang-undang di laut dan maklumat boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Pangkalan Maritim Semporna di talian 089-782619.

369 dibaca
Berita Harian X