Ahad, 14 Januari 2018 | 1:48pm
KEADAAN kawasan rumah 124 penghuni Rumah Panjang Jawa Kerubong yang mengalami kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka kira-kira jam 5 pagi di Sarikei. - Foto Ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat
KEADAAN kawasan rumah 124 penghuni Rumah Panjang Jawa Kerubong yang mengalami kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka kira-kira jam 5 pagi di Sarikei. - Foto Ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat

Dentuman kuat selamatkan penduduk

SARIKEI: Dentuman kuat mengejutkan 124 penghuni Rumah Panjang Jawa Kerubong, di sini sebelum menyedari berlaku kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka kira-kira jam 5 pagi tadi.

Difahamkan, dentuman itu disusuli gegaran selama beberapa minit dan berlaku runtuhan tanah berhampiran rumah panjang berkenaan, menyebabkan kesemua penduduk bergegas menyelamatkan diri.

Penghulu Bidai Ginsang ketika dihubungi BH, berkata penduduk bergegas meninggalkan rumah panjang itu kerana bimbang insiden lebih buruk berlaku.

"Bunyi dentuman, diikuti gelongsoran tanah dan pokok tumbang mengejutkan sebahagian besar penghuni yang sedang tidur ketika kejadian sebelum bergegas menyelamatkan diri.

"Syukur, semuanya selamat walaupun lokasi tanah runtuh itu terletak hanya beberapa meter dari rumah panjang kami. Ini kejadian pertama seumpamanya berlaku di sini sejak rumah panjang 21 pintu ini didiami pada 2014," katanya.

Bidai berkata, kejadian dipercayai berpunca dari hujan lebat yang berterusan sejak kelmarin menyebabkan struktur tanah di kawasan terbabit tidak begitu stabil.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Suna Kaha, berkata sepasukan pegawai dan anggotanya dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.18 pagi bagi menyalurkan bantuan.

"Kita sedang memantau pergerakan tanah di lokasi kejadian sebagai langkah berjaga-jaga, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.

"Jika keadaan semakin kritikal, kita menasihatkan kawasan terbabit ditutup dengan plastik kanvas bagi mengelak runtuhan susulan," katanya.

1940 dibaca
Berita Harian X