Ahad, 14 Januari 2018 | 1:35pm

Sarawak menuju era pemodenan


ABANG Johari merasmikan Mesyuarat Cawangan Zon 3 PBB di ibu pejabat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh  (DBNA), di Kuching, hari ini. - Foto Sandra Albertz

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg mensasarkan bandar raya ini bakal mengalami transformasi pengangkutan awam, termasuk pelaksanaan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dalam tempoh 10 tahun lagi.

Katanya, kajian rapi sedang dilakukan berhubung transformasi itu, termasuk penggunaan teknologi atas permukaan jalan raya yang lebih mudah dan murah berbanding kaedah sedia ada digunakan di ibu negara.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak menjelaskan penggunaan teknologi 'rel tinggi' tidak bersesuaian di Bandaraya Kuching kerana agak rumit dan membabitkan perbelanjaan besar.

"Dari Serian ke pusat bandar raya, kita akan hubungkan LRT menggunakan kaedah pembinaan rel atas permukaan jalan raya kerana konsepnya lebih mudah dan murah.

"Ia sama seperti pembinaan rel bagi perkhidmatan tram elektrik yang digunakan secara meluas di luar negara, termasuk di Melbourne, Australia.

"Kita menjangka perancangan ini dapat dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun, sekali gus mengubah landskap pembangunan dan sosio-ekonomi kita dalam mendokong wawasan pemodenan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Cawangan Zon 3 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 3 (Serembu, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja) di ibu pejabat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh  (DBNA), di sini, hari ini.

Abang Johari yang bertanggungjawab merintis Dasar Ekonomi Digital, berkata sistem LRT itu beroperasi menggunakan bahan api dari hidrogen yang dihasilkan dari air, bukan tenaga elektrik seperti di Kuala Lumpur.

"Ini kerana ada parti pembangkang mendakwa pembinaan sistem LRT di negeri ini akan amat mahal. Kita tahu membuatnya lebih ekonomi dan kos efisyen, kita tidak perlu mengikut apa yang ada di Kuala Lumpur yang semuanya menggunakan rel tinggi," katanya.

Beliau berkata kewujudan mod pengangkutan moden itu bukan sahaja mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas, terutama di Kota Samarahan sebagai hab pendidikan tinggi, bahkan turut membantu pembangunan Serian yang majoriti penduduknya dalam kalangan etnik Bidayuh sebagai kawasan 'bakul makanan' atau hab pertanian negeri.


ABANG Johari menerima cenderahati selepas merasmikan Mesyuarat Cawangan Zon 3 PBB di ibu pejabat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh  (DBNA), di Kuching, hari ini. - Foto Sandra Albertz

Justeru, Abang Johari yang juga Presiden PBB berharap masyarakat terus bersatu di bawah Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan segala agenda perancangan direalisasikan, tidak seperti pembangkang yang ketika ini berbalah berhubung pembahagian kerusi dan berebut mahu menjadi Perdana Menteri.

"Mana boleh kita terima (Perdana Menteri) kitar semula. Kita perlu melihat masa depan, kerana pemikiran saya hari ini mungkin berbeza dengan pemikiran golongan muda menjelang 2025 atau 2030 nanti," katanya.

232 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »