Ahad, 14 Januari 2018 | 1:17pm
SHAFIEN (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak anggota dan kakitangan IPK Selangor dan IPD Shah Alam pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan IPK Selangor, di Surau Al-Walid IPK Selangor, di Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
SHAFIEN (kiri) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak anggota dan kakitangan IPK Selangor dan IPD Shah Alam pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan IPK Selangor, di Surau Al-Walid IPK Selangor, di Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
TIMBALAN Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Komuniti (Operasi) Selangor, ACP Razimi Ahmad (tujuh dari kanan baris belakang) dan Shafien (tengah baris belakang) bergambar bersama penerima sumbangan pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan IPK Selangor, di Surau Al-Walid IPK Selangor, di Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Bantuan keperluan sekolah anak polis

SHAH ALAM: Seramai 565 anak anggota dan kakitangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima bantuan persekolahan, hari ini. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata bantuan persekolahan itu adalah sumbangan peribadi Ketua Pegawai Eksekutif Beras Nasional Berhad (BERNAS), Abdul Karim Lassim. 

"Kita berbesar hati dengan sumbangan yang diberikan kerana ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban anggota serta kakitangan IPK Selangor dan IPD Shah Alam yang mempunyai pendapatan sederhana. 

"Anak anggota dan kakitangan IPK adalah seramai 348 orang manakala 217 lagi kepada anak anggota dan kakitangan IPD Shah Alam yang berpangkat sub-inspektor dan ke bawah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan IPK Selangor, di Surau Al-Walid IPK Selangor, di sini. 

Shafien berkata, setiap anak menerima sepasang baju sekolah, kasut serta beg bernilai RM175.

"Kami mengalu-alukan lebih ramai pihak sama ada individu atau pun syarikat tampil memberikan sumbangan agar lebih banyak bantuan boleh diberikan pada masa akan datang," katanya. 

Sementara itu, penerima bantuan, Shahril Aiman Daniel Mohd Helmi,10, berkata dia seronok menerima kelengkapan sekolah baharu, apatah lagi abangnya, Mohd Hafiq Daniel, 17; Mohd Akil Irfan Daniel, 16; serta kakaknya, Nur Syafea Emalyn,14, turut menerima kelengkapan yang sama. 

"Seronok sangat kerana kami berempat mendapat kelengkapan sekolah yang baharu walaupun sekolah sudah memasuki minggu ketiga," katanya.

268 dibaca
Berita Harian X