Ahad, 14 Januari 2018 | 12:55pm
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bergambar bersama peserta Forum Keusahawanan dan Halal 2018 selepas merasmikan program itu di Trang, Selatan Thailand, semalam. - Foto Shahidi Shahidan

Ambil peluang perkembangan industri halal

TRANG (SELATAN THAILAND): Masyarakat Islam di Malaysia dan Thailand perlu merebut peluang meneroka pasaran industri halal yang semakin berkembang.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkata aspek keusahawanan dan industri halal bergerak seiringan dengan kepesatan pembangunan dunia dan di rantau ini, sekali gus membuka ruang cukup luas untuk diteroka.

Mengambil contoh Perlis, beliau berkata negeri yang berjiran dengan wilayah Selatan Thailand itu turut tidak melepaskan peluang mempromosikan usahawan khususnya dalam bidang berasaskan halal untuk memenuhi tuntutan pasaran yang semakin berkembang dari semasa ke semasa.

Malah beliau yakin pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Perlis Inland Port kelak dapat melonjak jalinan kerjasama antara usahawan dua negara iaitu Malaysia dan Thailand, selain memperkukuh dan meningkatkan ekonomi untuk turut sama menyokong potensi pembangunan sektor halal di rantau ini.

Raja Muda Perlis berkata demikian ketika merasmikan Forum Keusahawanan dan Halal yang membabitkan kerjasama MARA, Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Perlis dan Majlis Agama Islam di enam wilayah Andaman di sini, semalam.

Terdahulu diadakan sesi suai niaga dan forum sebagai jaringan dinamik antara dua negara iaitu Malaysia dan Thailand, khususnya Perlis dan enam wilayah di Andaman, di sini.

Raja Muda Perlis yakin program berkenaan mampu menjadi kunci ke arah pembangunan ekonomi ummah yang lebih mantap dan kukuh.

Katanya usahawan perlu mamaksimumkan nilai tambah seperti mengemaskini proses pensijilan halal dan kaedah pemasaran yang lebih menarik agar produk dihasilkan lebih berdaya saing, komprehensif dan mempunyai permintaan yang tinggi.

"Program sebegini dapat mewujudkan kepakaran usahawan di dalam hal ehwal halal secara global dan promosi terhadap industri makanan halal dapat diperluaskan seiring dengan permintaan yang ada pada masa kini.

"Ia juga membuka ruang kepada usahawan Malaysia untuk mengeksport produk ke luar negara serta memberikan pendedahan maklumat terkini tentang tatacara eksport produk ke Thailand.

"Paling penting kaloborasi begini dapat membantu agensi terbabit mengenal pasti ruang dan peluang untuk membantu usahawan agar lebih berdaya saing dan maju, sekali gus peluang pekerjaan untuk rakyat Perlis akan bertambah apabila mereka diberi pekerjaan menerusi pengekportan produk tempatan ke luar negara," katanya.

Sektor pasaran dijangka terus berkembang berdasarkan peningkatan kesedaran dan permintaan kepada produk dan perkhidmatan halal daripada 1.8 bilion penduduk Islam dari seluruh dunia dan ia mewakili penguasaan 23 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk dunia dengan dianggarkan meningkat kepada 27 peratus menjelang 2030.

539 dibaca
Berita Harian X