Ahad, 14 Januari 2018 | 12:52pm
PENGERUSI Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas, Ghazali Taib. - Foto Rozainah Zakaria

Kerajaan negeri bantu golongan 'mak nyah'

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap masalah diskriminasi dan sukar mendapat pekerjaan yang dihadapi oleh golongan 'mak nyah' sehingga menyebabkan mereka terjebak dengan kancah tidak sihat untuk menyara kehidupan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib, berkata bagi membantu golongan kembali ke pangkal jalan, kerajaan akan menyediakan bantuan seperti modal perniagaan, latihan pekerjaan dan kursus kemahiran.

Beliau berkata, walaupun golongan 'mak nyah' sering dipandang serong, mereka tetap berhak dibantu bagi mengelak gejala itu menjadi lebih serius dan terus hanyut dalam kancah tidak sihat.

"Kita pandang serius masalah mereka yang kebanyakannya kecewa kerana sukar mendapat pekerjaan berikutan keadaan diri mereka, dan kita cuba bantu tangani dengan cara terbaik sebab sebenarnya mereka ini berbakat dan rajin.

"Tidak seperti orang lain yang kebiasaannya mahukan ikan sebagai bantuan, sebaliknya mereka mahukan pancing untuk meneruskan kehidupan.

"Nampaknya mereka sangat positif apabila mahu kita (kerajaan negeri) bantu dengan sediakan kursus kemahiran, latihan pekerjaan atau perniagaan dan sedikit modal untuk mulakan perniagaan, sekali gus menarik mereka keluar daripada melakukan aktiviti tidak bermoral," katanya selepas Majlis Temu Murni Bersama Komuniti Yang Disayangi di sini, semalam.

Lebih 100 golongan 'mak nyah' di negeri ini, selain dari Pahang dan Kelantan hadir pada majlis berkenaan.

Ghazali berkata, beberapa lagi siri pertemuan dan program kesedaran diadakan bersama golongan itu selepas ini.

BH sebelum ini membongkar kegiatan golongan 'mak nyah' yang didakwa menjadikan Flat Petani, di sini, sebagai sarang mereka menjalankan aktiviti seks sejak 20 tahun lalu.

Selain bau yang kurang menyenangkan, banyak kondom didapati bertaburan di atas tanah di flat berkenaan, dipercayai dibuang melalui tingkap oleh golongan terbabit selepas selesai melakukan kegiatan seks dengan pelanggan.

Susulan itu, kerajaan negeri merangka usaha untuk membantu golongan berkenaan keluar daripada kepompong kegiatan tidak bermoral itu, dengan majlis semalam menjadi pembuka 'bicara' antara kerajaan negeri dengan golongan itu.

Ghazali berkata, usaha kerajaan negeri membantu golongan berkenaan tidak bermaksud membenarkan kegiatan 'mak nyah', tetapi sebagai sebahagian usaha untuk menarik golongan itu kembali ke pangkal jalan.

"Kalau kita tidak buat sesuatu, jumlah mereka yang terbabit dengan kancah pondan atau 'mak nyah' ini semakin banyak.

"Ketika itu kita tidak boleh menuding jari salahkan mereka kerana kita tidak pernah bantu sedangkan mereka juga sebahagian daripada kita," katanya.

Sementara itu seorang peserta, Mohd Bakri Abu Bakar, 52, yang berubah daripada kancah 'mak nyah' sejak usia 46 tahun berkata, beliau gembira apabila permasalahan golongan itu mendapat perhatian kerajaan negeri.

"Walaupun saya sudah berubah tetapi saya hadir pada hari ini untuk memberi sokongan kepada rakan lain. Memang golongan ini perlukan perhatian dan bantuan dan tidak boleh dipinggirkan masyarakat, kalau tidak masalah ini lebih sukar dibendung.

"Usaha kerajaan negeri ini harus dipuji dan saya akui ini adalah program pertama seumpamanya yang pernah saya hadiri khusus untuk golongan 'mak nyah'," katanya yang terjebak sebagai pondan selama 20 tahun.

Seorang lagi peserta yang hanya mahu dikenali sebagai 'Marina' berkata, beliau berbesar hati dengan keprihatinan kerajaan negeri dalam membela nasib golongan 'mak nyah' yang sering berdepan masalah sukar mendapat pekerjaan.

382 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »