Ahad, 14 Januari 2018 | 9:07am
ROSIMAH (lima dari kanan) menyampaikan geran untuk mengadakan aktiviti kepada ahli persatuan ibu tunggal di 15 Parlimen di Sabah. - Foto ihsan Persatuan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia cawangan Sabah.

Ibu tunggal digesa mendaftar dengan persatuan

KOTA KINABALU: Ibu tunggal di Sabah digesa mendaftar dengan Persatuan Ibu Tunggal negeri bagi ibu tunggal di negeri ini untuk memudahkan bantuan disalurkan kepada mereka.

Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia cawangan Sabah, Datuk Rosimah Zakaria, berkata sebanyak 15 Parlimen sudah mewujudkan persatuan ini di Sabah, setakat ini.

"Saya meminta ibu tunggal yang belum menyertai persatuan ini agar segera mendaftar di kawasan masing-masing.

"Ini kerana menerusi persatuan itu, ibu tunggal dapat berkongsi maklumat antara mereka dalam usaha memajukan diri dan ekonomi masing-masing.

"Ini membantu mereka agar tidak terbelenggu dengan masalah kemiskinan atau berasa rendah diri disebabkan kekurangan diri," katanya di sini.

Sebanyak 15 Parlimen yang mempunyai Persatuan Ibu Tunggal Kebangsaan cawangan Sabah setakat ini ialah Parlimen Kudat, Tuaran, Kota Kinabalu, Putatan, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Keningau, Pensiangan, Silam, Tawau, Kinabatangan dan Sandakan.

Rosimah berkata, beberapa program akan diadakan bagi membolehkan ibu tunggal menjana ekonomi keluarga mereka, pada tahun ini.

"Program itu antaranya ialah kursus membuat bun, kuih dan keropok lekor menerusi peruntukan Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah.

"Dalam pada itu, enam daripada 15 Parlimen itu turut menerima geran untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Ini bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin membantu ibu tunggal di negeri ini," katanya.

656 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »