Selasa, 2 Januari 2018 | 10:34am
BANJIR yang berlaku di Kampung Limau Kasturi berikutan hujan lebat. - Foto Ramli Ibrahim

46 mangsa banjir di Jeli

KOTA BHARU: Satu lagi pusat pemindahan sementara dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Balah, Jeli menjadikan dua pusat yang menempatkan 46 mangsa banjir daripada 17 keluarga, sehingga jam 9 pagi ini.

Berdasarkan aplikasi info banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, pusat pemindahan di Jeli terbabit mula dibuka sejak 8 pagi tadi, dengan menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga dari Kampung Kuala Balah.

Pusat di SK Limau Kasturi, Gua Musang pula masih dibuka sejak semalam bagi menempatkan 37 mangsa daripada 11 keluarga.

Peningkatan bilangan mangsa banjir di negeri ini berlaku berikutan hujan lebat sejak Sabtu lalu.

Sementara itu, Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang semakin surut apabila berada di paras amaran iaitu 58.81 meter berbanding semalam melebihi paras bahaya pada 60.36 meter.

Selain sungai itu, beberapa sungai berada di paras amaran, iaitu Sungai Galas di Dabong (36.87 meter), Sungai Lebir di Tualang (34.29 m), serta Sungai Kelantan di Kuala Krai (24.42 m) dan Kusial (14.83 m).

Dua lagi sungai berada paras berjaga-jaga, iaitu Sungai Lebih di Kuala Koh (69.57 meter) dan Sungai Golok di Rantau Panjang (7.56 meter).

293 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »