Ahad, 26 November 2017 | 11:32am

Paras air 12 sungai di Kelantan masih normal

RANTAU PANJANG: Paras air di 12 sungai di negeri ini masih lagi masih tahap normal walaupun hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat jam 10 pagi ini, semua paras air sungai tidak melebihi paras berjaga-jaga namun ada kemungkinan untuk semakin meningkat memandangkan hujan tanpa henti di setiap daerah.

Tiga daripada sungai terbabit mencatat paras air yang semakin meningkat iaitu 54.57 meter bagi Sungai Galas di Gua Musang, 24.17 meter bagi Sungai Lebir di Kuala Krai serta 5.67 meter bagi Sungai Golok, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Adni Ibrahim, berkata paras air sungai dicatat meningkat dan pihaknya akan lebih berwaspada selain meningkatkan lagi pemantauan sekitar Sungai Golok yang kini mencatat paras air 5.67 meter.

"Di Sungai Golok paras air berjaga-jaga ialah 7 meter manakala paras amaran 8 meter dan bahaya pada paras 9 meter. Biasanya jika paras air Sungai Golok sudah mencapai 10.4 meter, penduduk akan diarahkan berpindah ke tempat yang lebih selamat.

"Sekarang ini penduduk di kawasan rendah khususnya perlu peka untuk menyimpan dan menyelamatkan dokumen penting serta harta benda ke tempat yang selamat walaupun keadaan dilihat masih terkawal.

"Jika hujan masih lagi berterusan kemungkinan paras air sungai ini semakin meningkat. Jadi keadaan ini yang menyebabkan banjir berlaku," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sementara itu, mengikut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), sebelum ini, Monsun Timur Laut melanda bermula bulan ini akan berlarutan hingga Mac tahun depan.

888 dibaca
Berita Harian X