Khamis, 9 November 2017 | 11:19am
KETUA Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Adni Ibrahim. - Foto Fathil Asri

Dua sungai di Kelantan catat paras berjaga-jaga

RANTAU PANJANG: Sungai Galas, Kuala Krai dan Sungai Golok sudah mencapai paras berjaga-jaga selepas negeri ini mengalami kekerapan hujan sejak seminggu lalu.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, sehingga jam 7 pagi ini kedua-dua sungai terbabit mula mencatatkan paras air yang semakin bertambah iaitu 32.29 meter di Sungai Galas dan 7.31 meter di Sungai Golok.

Paras normal bagi Sungai Galas ialah 28 meter, manakala Sungai Golok pula 5 meter yang mana jelas menunjukkan peningkatan paras air berlaku.

Beberapa sungai lain di negeri ini masih mencatat paras normal seperti Sungai Lebir, Kuala Krai, Sungai Semerak, Pasir Puteh dan Sungai Kelantan di Air Mulih, Pasir Mas.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Adni Ibrahim, berkata paras air sungai dicatat meningkat dan pihaknya akan lebih berwaspada selain pemantauan sekitar Sungai Golok.

Katanya, seramai 28 anggota bomba akan bersiap sedia membantu masyarakat bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku jika banjir melanda.

"Di Sungai Golok paras air berjaga-jaga ialah 7 meter, manakala paras amaran 8 meter dan bahaya pada paras 9 meter. Biasanya jika paras air Sungai Golok sudah mencapai 10.4 meter, penduduk akan diarahkan berpindah ke tempat yang lebih selamat.

"Sekarang ini penduduk di kawasan rendah khususnya perlu peka untuk menyimpan dan menyelamatkan dokumen penting serta harta benda ke tempat yang selamat walaupun keadaan dilihat masih terkawal.

"Jika hujan masih lagi berlaku kemungkinan paras air sungai ini semakin meningkat. Jadi keadaan ini yang menyebabkan banjir berlaku," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

725 dibaca
Berita Harian X