Selasa, 31 Oktober 2017 | 5:43pm

Kakak rayu adik pulang


GAMBAR terakhir Mohd Hambali (kiri) yang dilaporkan menghilangkan diri dari rumahnya di Kampung Parit Kasa sejak lima hari lalu. - Foto ihsan pembaca

PARIT BUNTAR: "Adik, pulanglah ke rumah, kasihan pada ayah."

Demikian rayu, Nashrah Hamidi, 21, kakak kepada Mohd Hambali, 14, yang dipercayai sudah lima hari melarikan diri dari rumahnya di Kampung Parit Kasa di sini, selepas dimarahi bapa mereka, Hamidi Hassan, 43.

Beliau berkata, adiknya yang juga anak keenam dari lapan beradik, sudah tidak bersekolah dan bekerja membantu keluarga mengusahakan kedai makan di sini, sering pulang lewat malam sejak dua minggu lalu.

"Pada Khamis lalu, adik pulang ke rumah lewat malam dan dimarahi ayah.

"Malam keesokannya, ketika kami sedang tidur manakala ibu dan ayah sedang membuat persiapan juadah untuk berniaga, adik saya itu melarikan diri tanpa membawa beg pakaian.

"Tindakan itu dipercayai dirancang lebih awal bersama rakan-rakannya yang lebih dewasa. Ayah sudah berusaha menghubungi Hambali melalui telefon bimbit miliknya, namun gagal," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Nashrah berkata, adiknya ada mengirim teks khidmat pesanan ringkas (SMS) melalui telefon bimbit memaklumkan dirinya keluar dari rumah kerana mahu berusaha sendiri mencari duit menyara kehidupannya.

"Namun cara tulisan SMS dihantar, kami sekeluarga yakin mesej itu dihantar oleh orang lain, mungkin rakan kepada Hambali.


HAMIDI menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas anaknya dilaporkan menghilangkan diri sejak lima hari lalu. - Foto ihsan pembaca

"Sebelum ini, dia pernah menyuarakan hasrat untuk bekerja di sebuah kilang di Bukit Panchur, Pulau Pinang. Kami tidak menolak kemungkinan dia mungkin berada di kawasan Seberang Perai Selatan dan tinggal bersama rakan-rakan lebih dewasa," katanya.

Nashrah berkata, keluarganya sudah membuat laporan kehilangan adiknya itu di Balai Polis Jawi, Pulau Pinang dan dia berharap Mohd Hambali dapat pulang semula ke pangkuan keluarga.

"Sejak adik menghilangkan diri, ayah sering duduk termenung, seolah-olah menyesali perbuatannya memarahi adik.

"Saya harap adik segera kembali pulang ke pangkuan keluarga kerana kami semua sayangkannya dan bimbang keselamatannya," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Mohd Hambali boleh menghubunginya di talian 017-5847734.

1911 dibaca
Berita Harian X