Jumaat, 22 September 2017 | 11:18am

Kempen 'Ringg-It for my School' di Gamuda Walk

KUALA LUMPUR: Gamuda Land, pemaju hartanah menganjurkan kempen 'Ringg-It for my School' bertujuan mengutip dana untuk sekolah di sekitar Kota Kemuning, Selangor.

Ketua Pegawai Operasi, Ngan Chee Meng, berkata kempen itu membolehkan masyarakat sekitar menyumbang kepada pembangunan sekolah di kawasan itu dengan cara membeli barang dan produk di pusat beli belah Gamuda Walk.

Katanya, menerusi kempen itu, sekolah berhampiran akan dibantu seperti pembelian komputer, buku, alat tulis dan peralatan sukan serta boleh juga digunakan sebagai dana untuk membaiki kemudahan di sekolah.

"Orang ramai boleh menunjukkan tanda sokongan kepada sekolah pilihan mereka menerusi tiga langkah mudah iaitu pertama dengan membuat pembelian minimum RM1 di mana-mana kedai dalam Gamuda Walk.

"Bagaimanapun, pembelian ini dikecualikan bagi kedai tukaran wang asing, pembayaran bil telefon dan di reruai sementara.

"Selepas pembelian, pelanggan boleh mengemukakan resit pembelian di reruai penebusan di tingkat bawah bagi mendapatkan slip undi di mana bagi setiap pembelian bernilai RM1 bersamaan dengan satu mata undi pada hari Jumaat hingga Ahad serta cuti umum.

"Bagi hari Isnin hingga Khamis, setiap RM1 yang dibelanjakan, sebanyak dua mata undi akan diberikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Chee Meng, berkata langkah ketiga, pelanggan kemudian boleh mengundi sekolah pilihan mereka menggunakan slip undi yang sudah ditebus.

Katanya, sekolah dengan undian paling tinggi akan muncul pemenang hadiah pertama dengan dan akan menerima baucer tunai dan produk atau perkhidmatan berdasarkan kedudukan undian masing-masing.

"10 sekolah dengan undian tertinggi akan menerima hadiah baucer tunai, produk dan perkhidmatan yang keseluruhannya bernilai RM67,5000," katanya.

Kempen 'Ringg-It for my School' akan berjalan selama hampir dua bulan bermula dari 4 September lalu sehingga 29 Oktober ini.

Antara sekolah yang akan mengambil bahagian ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Kemuning; SK Bukit Kemuning 2, SK Bukit Rimau, SK Taman Sri Muda 1, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua dan Sekolah Menengah Kota Kota Kemuning.

168 dibaca
Berita Harian X