Jumaat, 12 Oktober 2018 | 10:54pm
DATUK Seri Anwar Ibrahim memiliki peluang paling besar untuk menang dalam PRK Parlimen Port Dickson. - Foto BERNAMA

Anwar di depan, PAS bakal hilang deposit - Ilham Centre

KUALA LUMPUR: Bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki peluang paling besar untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, esok.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Azlan Zainal, berkata kajian firma penyelidikan bebas itu mendapati Anwar Ibrahim tidak berdepan saingan sengit daripada enam calon lain.

Katanya, calon yang dilihat sebagai pencabar terdekat Anwar hanya bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, manakala calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar pula berkemungkinan hilang deposit.

Beliau berkata, status Anwar sebagai bakal Perdana Menteri kelapan memberi kelebihan untuk lebih menonjol sepanjang kempen PRK itu berbanding calon lain, selain menguasai sepenuhnya undi bukan Melayu.

“Anwar kekal menjadi calon tunggal paling terkehadapan dalam siri kempen yang dilakukan dengan gerak kerja kempen lebih tersusun, jentera yang berpusat di setiap pusat pengundian dan variasi bahan kempen yang boleh dilihat sekitar Port Dickson.

“Dapatan kajian menunjukkan 64 peratus pengundi menerima Anwar yang memilih Port Dickson sebagai tapak untuk beliau menggalas jawatan Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Persoalan yang timbul dalam kalangan pengundi ialah sejauh mana keinginan Anwar untuk kekal di Port Dickson dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika menang kerana beliau tidak mempunyai nilai sentimental dan legasi di kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azlan berkata, kajian membabitkan 817 responden di Port Dickson itu mendapati Mohd Isa masih memiliki pengaruh yang kuat, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dan DUN Linggi, walaupun tidak bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) atau UMNO.

Katanya, kebanyakan pengundi warga emas dan veteran UMNO menghargai bakti dan jasa Mohd Isa membangunkan kawasan itu ketika beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang dan Menteri Besar.

Bagaimanapun, katanya, keputusan Mohd Isa, yang bertanding atas tiket Bebas, keluar UMNO bakal menjejaskan undi daripada sebahagian ahli parti itu, selain pengundi berusia bawah 40 tahun tidak berkongsi nilai sentimental terhadapnya.

“Mohd Isa juga hilang undi Cina dan India. Pola pengundi bukan Melayu jelas masih memihak Pakatan Harapan (PH) dan penolakan terhadap calon selain daripada PH masih kuat dalam PRK ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, jentera tempatan PAS lumpuh serta kehilangan majoriti ahlinya yang menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH), manakala gerak kerja mereka hanya tertumpu dalam kalangan orang Melayu, khususnya pengundi UMNO.

“Berdasarkan tinjauan kami, PAS gagal mendapat sokongan undi Melayu yang mencukupi dan berada di kedudukan ketiga selepas Mohd Isa, selain berkemungkinan tinggi untuk hilang deposit,” katanya.

Selain Mohd Isa, Azlan menjangkakan semua calon Bebas lain akan hilang wang pertaruhan, termasuklah Mohd Saiful Bukhari Azlan yang dilihat sekadar bertanding untuk menghantui dan mengganggu psikologi Anwar.

Dalam pada itu, Azlan mengakui kehadiran Dr Mahathir membantu kempen Anwar memberi moral tinggi kepada jentera Pakatan Harapan (PH), dan menambah keyakinan pengundi Melayu untuk mengundi bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

“Secara mudahnya, kemenangan seolah-olah menjadi milik Anwar, namun kedudukan pengundi Melayu menjadi kayu ukur utama kejayaan beliau di Port Dickson.

“Ketiadaan UMNO untuk mencabar kehadiran Anwar pada PRK kali ini menyebabkan calon lain tidak dapat memberi saingan sengit kepada calon PH ini,” katanya.

Seramai 68,317 pengundi layak menunaikan kewajipan pada PRK Port Dickson, esok, yang menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara Anwar, Mohd Isa, Mohd Nazari, Mohd Saiful Bukhari serta tiga calon bebas lagi iaitu personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong; pakar perunding pengurusan, Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah universiti swasta, Lau Seck Yan.

3165 dibaca
Berita Harian X