Jumaat, 12 Oktober 2018 | 9:47pm
MOHAMED Azmin bersedia menerima apa jua keputusan dalam pemilihan parti. - NSTP/Faiz Anuar

Pemilihan PKR: Azmin yakin pertahan jawatan

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersedia menerima apa jua keputusan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung namun yakin mampu pertahankan jawatannya.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan sentimen, sokongan semasa serta prestasi beliau sepanjang 20 tahun memimpin perjuangan PKR.

“Insya-Allah, dengan mood dan dokongan yang ada, saya boleh nyatakan, saya akan terus diberikan tugas dan amanah ini.

“Saya akan jalankannya dengan baik dan penuh bertanggungjawab,” katanya pada Program Bicara Minda bertajuk Ekomoni: Kesejahteraan Untuk Semua di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan penonton apa yang akan terjadi kepada beliau sekiranya tewas kepada pesaingnya, Mohd Rafizi Ramli untuk jawatan itu.

Mohamed Azmin berkata, beliau yakin dengan kematangan ahli PKR untuk membuat pilihan terbaik dalam pemilihan parti dan menghormati apa juga keputusan yang dibuat.

Katanya, pemilihan adalah satu proses biasa dalam parti yang mengamalkan demokrasi dengan mana-mana ahlinya boleh menawarkan khidmat untuk bertanding bagi sesuatu jawatan.

510 dibaca
Berita Harian X