Jumaat, 12 Oktober 2018 | 6:39pm
SECK Yan mengedarkan risalah pengenalan calon pada hari terakhir kempen PRK Parlimen di Pasar Lukut Port Dickson. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin
SECK Yan mengedarkan risalah pengenalan calon pada hari terakhir kempen PRK Parlimen di Pasar Lukut Port Dickson. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin

Rayu majikan benarkan pekerja mengundi

PORT DICKSON: Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Lau Seck Yan, mendakwa ada majikan dikatakan tidak membenarkan pekerja keluar mengundi pada waktu bekerja, esok.

Beliau berkata, majikan wajar memberi pelepasan kepada pekerja kerana ia adalah hak yang diperuntukkan mengikut Seksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Katanya, majikan perlu memberi pelepasan kepada pekerja untuk keluar mengundi.

“Hari ini saya bertemu pengundi masih ada yang memberitahu saya mereka tidak dapat keluar mengundi kerana majikan tidak beri pelepasan.

“Saya meminta majikan membenarkan pengundi menunaikan kewajipan kerana ini bukan untuk Port Dickson saja tetapi masa depan negara,” katanya ketika ditemui ketika melakukan tinjauan mesra di Pasar Lukut di sini, hari ini.

Tinjauan mesra itu adalah kali kedua dilakukan di lokasi sama dengan yang pertama sejurus penamaan calon pada 29 September lalu.

Seck Yan tidak menyesali keputusannya bertanding pada PRK Port Dickson, malah bangga kerana diterima masyarakat Port Dickson.

“Saya gembira pengundi di sini menerima saya dengan baik,” katanya yang tidak meletakkan harapan tinggi tetapi yakin mendapat sekurang-kurangnya 20 peratus undi.

88 dibaca
Berita Harian X