Jumaat, 12 Oktober 2018 | 5:49pm
GAMBAR fail, Pengarah Bomba Negeri Sembilan Norazam Khamis (empat kanan duduk) bergambar bersama Pegawai Bomba Bantuan pada majlis Tamat Latihan Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2018 di Balai Penyelamat Seremban 2. - Foto Adzlan Sidek

Bomba siap sedia hadapi banjir di Port Dickson

PORT DICKSON: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan mempersiapkan keanggotaan dan kelengkapan menghadapi kemungkinan banjir pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, esok.

Pengarahnya, Norazam Khamis, berkata sebuah bilik gerakan di Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson diaktifkan sejak minggu lalu sebagai langkah persediaan awal.

“Seramai 150 pegawai dan anggota bersiap sedia untuk digerakkan ke lokasi sekiranya berlaku banjir.

“Kita turut mengikuti perkembangan semasa Jabatan Meteorologi memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam berkata, antara kawasan berisiko dinaiki air sekiranya hujan lebat berterusan ialah Linggi, Teluk Kemang dan Lukut.

Beliau menasihati pengundi supaya merancang keluar mengundi lebih awal.

Sementara itu, laman sesawang Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat dan ribut petir di Port Dickson, esok.

280 dibaca
Berita Harian X